Home » Langit Terbuka » Setiausaha Agung OIC letak jawatan

Setiausaha Agung OIC letak jawatan

JEDDAH 1 Nov. – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengesahkan bahawa Setiausaha Agung, Iyad Ameen Madani meletak jawatan berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Iyad didakwa me­nimbulkan kemarahan Mesir apabila mencampuradukkan nama Pesiden negara itu, Abdel Fattah al-Sisi dengan nama Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi.

Bagaimanapun, OIC dalam kenyataannya memberitahu, bekas menteri Arab Saudi itu mengambil keputusan untuk berundur kerana faktor kesihatan.

“Iyad turut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih terhadap kerjasama yang diberikan oleh seluruh negara anggota OIC selama ini,” jelas kenyataan itu.

Beliau sebelum ini dikecam kerana menyebut nama al-Sisi sebagai nama terakhir Presiden Tunisia itu yang sepatutnya disebut Essebsi dalam satu persidangan minggu lepas.

Walaupun tidak disengajakan, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry mendakwa, perbuatan Iyad itu boleh memberi kesan yang serius terhadap bidang tugasnya sebagai Setiausaha Agung OIC.

Iyad yang memegang jawatan itu sejak tahun 2014 dalam satu kenyataan bagaimanapun meminta maaf dan mengakui tidak berniat untuk ‘menghina’ pe­mimpin Mesir tersebut.

Dalam pada itu, Arab Saudi dilapor telah mencalonkan nama bekas Menteri Hal Ehwal Sosial negara itu, Youssef al-Utaymeen untuk menggantikan Iyad.

Pencalonan itu mendapat sokongan daripada Kementerian Luar Mesir dan mereka turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan yang dimainkan Arab Saudi dalam membantu OIC mencapai matlamat penubuhannya.

“Mesir bersedia meneruskan kerjasama erat bersama Setiausaha Agung OIC yang baharu,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan. – AFP

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Kesempurnaan cinta kemanisan iman

Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda: :عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

Siapakah Ibnu Batutah?

Ibnu Batutah adalah tokoh muslim asal Moroko yang lahir tahun 1304 M dan suka melakukan pengembaraan ke berbagai penjuru dunia. Nama penuhnya,

Sang Pengiring Muhammad SAW

Abu ‘Abd Allah Zubair ibn al-Awwam adalah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau merupakan salah seorang “mubasyirin bil-jannah” (sepuluh sahabat yang dijamin masuk

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *