Home » Langit Terbuka » Sewa tapak premis Bazar Ramadan Rahmah murah

Sewa tapak premis Bazar Ramadan Rahmah murah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk memastikan harga sewa tapak premis bazar Ramadan lebih rendah dan tidak membebankan peniaga. - Foto Facebook

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengharapkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mengurangkan harga sewa tapak premis di Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara pada bulan Ramadan ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peniaga di bazar tersebut akan dapat menjual makanan dan minuman dengan harga murah sekiranya kadar sewa tapak premis lebih rendah berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pihak kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan KPKT untuk memastikan harga sewa tapak premis tersebut lebih rendah dan tidak membebankan peniaga.

Katanya, pada masa ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) antara yang terawal menawarkan tapak Bazar Ramadan Rahmah.

“Ada perancangan nak buat Bazar Ramadan Rahmah pada bulan Ramadan ini dengan harga sewa tapak premis dapat dikurangkan.

“Peniaga di bazar tersebut juga dapat menurunkan harga jualan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  merasmikan Program Jualan Rahmah peringkat negeri Terengganu di Sabasun HyperRuncit, di sini, pada 1 Mac.

Selain itu, Salahuddin memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan tiga kementerian lain untuk menjayakan Bazar Ramadan Rahmah itu.

Katanya, tiga kementerian lain itu adalah Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat peringkat Ketua Setiausaha untuk membincangkan Bazar Ramadan Rahmah itu,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, setakat ini, sebanyak 11 syarikat pasar raya dan pasar raya besar menyertai kempen Jualan Rahmah yang menawarkan harga barangan keperluan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Jelasnya,  setiap pasar raya dan pasar raya besar itu pula mempunyai banyak cawangan di seluruh negara. 

“Kita harap lebih banyak penggiat industri khususnya pasar raya dan dan pasar raya besar dapat bersama-sama kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini,” katanya. – Utusan Malaysia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *