Home » Citra Yadim » Sokong usaha tangani kejadian hina Islam

Sokong usaha tangani kejadian hina Islam

PUTRAJAYA – Orang ramai diseru bersama kerajaan dalam menangani kejadian menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW  yang sedang berlaku ketika ini, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Menurut beliau, tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW menunjukkan bahawa pihak berkuasa sememangnya prihatin dalam isu berkenaan.

Kerajaan juga jelas beliau, mahu mendaulatkan Islam dan meletakkannya di kedudukannya sebagai Agama Persekutuan, selain mahu tadbir urus negara dilaksanakan secara patuh Syariah, dalam kerangka Gagasan Rahmatan Lil Alamin

“Adalah menjadi tanggungjawab kita, di kelompok mana pun untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan segelintir pihak yang menghina Islam, itu lumrah.

“Namun pada masa yang sama  kita mesti menghormati pandangan dan usaha yang telah dibuat kerajaan Malaysia sekarang, yang tegas dalam isu ini,” ujar beliau dalam satu wawancara di pejabatnya hari ini.

Baru baru ini, dua individu menghina Nabi Muhammad SAW yang tular di Facebook, telah didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan.

Pihak Polis Diraja Malaysia pula sedang giat mengesan satu suspek lagi yang kini dipercayai berada di Lembah Klang. Empat individu telah dikenalpasti dan diambil tindakan terhadap mereka.

Dalam pada itu menurut Nik Omar, walaupun kerajaan memberi ruang untuk menunjukkan rasa tidak puas hati, masyarakat tidak seharusnya mengambil kesempatan atas kelonggaran tersebut.

“Perhimpunan yang diadakan contohnya, tidak boleh akhirnya membawa sentimen agama dan perkauman,” ujar beliau.

Pada masa yang sama kata beliau, masyarakat bukan Islam di negara ini juga perlu lebih memahami sensitiviti umat Islam.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *