Home » Persuasif » SOP Jiwa?

SOP Jiwa?

PERLU diakui bahawa manusia itu sifatnya lemah dan mudah lupa. Walaupun dia perasan dirinya hebat tetapi dalam banyak keadaan dia hanya dapat melihat sesuatu itu dalam kadar lapisan mata normal manusia iaitu setakat kepentingan duniawi sahaja dan amat sedikit mampu melangkaui hingga peringkat ukhrawi.

Buktinya masih ramai yang alpa, hingga lupakan soal dosa-pahala, syurga-neraka dalam percaturan kehidupan. Kadangkala dalam banyak kes, kumpulan asatizah juga ada yang ‘terkucil’- zikir maki hamun kepada yang tidak sehaluan menjadi mainan mulut.

Dalam keadaan ujian demi ujian menimpa, Prosedur Operasi Standard (SOP) duniawi amat dititikberatkan hinggakan namun dalam keadaan tertentu seperti mengabaikan SOP ukhrawi. Kedua-duanya tidak boleh ditinggalkan, ia perlu bergandingan dan seiringan.

Isu inilah yang dibincangkan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk ‘SOP Jiwa’ dengan panelisnya, Prof Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia yang dikendalikan oleh Daie Afiqah Mahmud sebagai moderator.

Nik Salida menarik perhatian umum dengan meminta masyarakat agar jangan melabelkan penularan pandemik Covid-19 sebagai musibah tetapi sebaliknya perlu berfikiran positif dengan menganggapnya sebagai rahmat yang perlu dimanfaatkan pengajaran daripadanya.

Jelas beliau, Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia, pasti ada hikmah di sebalik teguran Allah itu. Dalam sejarah ketamadunan manusia bukan sekali ini sahaja berlaku wabak yang mengorbankan jutaan jiwa manusia, malah turut terjadi kepada umat lampau yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Apa yang jelas, ia adalah bukti kekuasaan Allah. Walau sehebat mana manusia, mereka sama sekali tidak dapat menandingi dan mengatasi kuasa Agung Maha Pencipta. Contoh paling mudah, bila tiba musim kemarau, manusia dengan kecanggihan teknologi tidak mampu menukarkannya menjadi musim buah. Pokok buah-buahan meskipun disiram setiap hari dengan diletakkan baja terbaik, jika Allah tidak mengizinkannya untuk berbuah, maka ia tetap tidak akan mampu mengeluarkan hatta bunga sekalipun.

“Rahmatnya adalah agar kita semua muhasabah, insaf dan tidak leka. Ini tidak, bila dengar azan, majoriti masih rileks dan langsung tidak bergegas menyahut seruan agung itu. Ramai daripada kita, bila susah baru ingat Allah, bila senang dengan bongkaknya mengatakan bahawa kejayaan itu berpunca daripada hasil kerja keras sendiri.

“SOP dunia (tangani Covid-19) amat dipatuhi, pakai pelitup muka yang mahal-mahal, guna hand sanitizer terbaik tetapi pada masa sama masih enggan menunaikan solat, malas menggantikan puasa, aurat masih lagi dibiarkan terdedah dan banyak lagi perkara perkara  maksiat lain dilakukan langsung tanpa perasaan bersalah,” kata Nik Salida.

Menjawab soalan adakah pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang merupakan azab atau rahmat daripada Allah, Nik Salida menjelaskan bahawa kedua-duanya betul dan ia subjektif bergantung kepada jiwa-jiwa yang menerimanya.

“Rahmat bagi yang beriman dan bertaqwa iaitu susah sebenarnya nak hadapinya tapi bila dia sabar dan menerima takdir iman. Dia hayati dan insafi iktibar sebaliknya iaitu jika mati sekalipun Insya-Allah dapat masuk syurga.

“Manakala boleh dianggap sebagai azab bagi mereka yang berterusan mengingkari larangan dan suruhan Allah, masih lagi melakukan kemungkaran, tidak insaf-insaf. Jika jiwa sifatnya suci, maka luarannya pasti tunjukkan karater atau cerminan jiwa itu.

“Jiwa yang menyatupadukan manusia, bukannya anggota badan. Perlu diakui dalam keadaan pandemik ini, ramai jiwa ‘cedera’ akibat pendapatan merosot, tiada kerja dan sebagainya.

“SOP jiwa adalah kekal positif dan bersyukur, jadikan ujian dan cabaran sebagai peluang. Pusat jiwa letaknya di hati iaitu nakhodanya ialah hati,” jelas Nik Salida.

Seterusnya Nik Salida berkongsi checklist SOP jiwa untuk manfaat bersama yang perlu didokumentasi agar lebih berfungsi, berstruktur dan bermatlamat:

1. Kembali kepada Allah, bergantung kepada Allah selepas berusaha dan berikhtiar – sifat normal manusia itu mudah leka dan lalai apabila senang. Apabila berlaku wabak berjangkit dan berbahaya, ia dapat ukur diri dan sucikan diri untuk kembali kepada Allah.

2. Solat, selepas berjaya kembali kepada Allah dan bersihkan jiwa – jangan sesekali tinggalkan solat, segerakan ganti apa yang tertinggal. Jika kita berniat untuk menggantikannya tetapi jika terlebih dahulu ‘dipanggil Allah’ sebelum sempat menggantikannya, Insya-Allah Dia tahu niat murni kita.

3. Bersedekah – khususnya ketika berada dalam kesempitan hidup, ia adalah antara terapi jiwa terbaik.

4. Berusaha untuk tinggalkan perkara-perkara maksiat – sedikit demi sedikit tapi konsisten.

5. Selalu muhasabah diri – kita tidak mencuri, tidak membunuh tetapi perbuatan kita seakan-akan seperti ‘merompak dan membunuh’, antaranya perbuatan menjatuhkan maruah orang melalui media sosial dengan menyebarkan fitnah dan berkongsi berita palsu demi mengejar like .
“Jangan tunggu apabila susah baru nak muhasabah diri!,” kata Nik Salida.

6. Selalulah memunajatkan doa – jangan mulakan hari tanpa kalam Allah.

Nik Salida turut berkongsi panduan untuk melenturkan jiwa yang keras iaitu kena banyakkan berzikir dan berselawat kerana ia dapat menyucikan hati serta jiwa.

“Daripada menghabiskan masa dengan benda benda tidak berfaedah, lebih baik berzikir. Sikit pun tak apa janji istiqamah, jangan buat sesuatu yang tidak mampu dilakukan. Contohnya, nak jadi baik jadi berazam nak khatam al-Quran dalam masa sehari, bukan tak boleh tapi ia akan membebankan seorang manusia yang tidak biasa melakukannya. Akhirnya ia langsung tidak tertunai,” katanya.

Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia. Berpengalaman luas dalam kewartawanan dan penulisan, beliau kini menulis di pelbagai platform.

Artikel Berkaitan

RUU Mufti bukan sesuatu yang baru dan radikal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 bukanlah akta atau undang-undang baharu dan radikal. Mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *