Home » Langit Terbuka » SOP, syarat umrah sedang dirangka

SOP, syarat umrah sedang dirangka

Lembaga Tabung sedang menyemak dengan terperinci kos menunaikan haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu seperti diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi. - Foto Libur.com

KUALA LUMPUR – Beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan syarat tertentu sedang dirangka sebelum kerajaan membenarkan semula operasi ibadat umrah menjelang penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai agensi penyelia operasi ibadat di Tanah Suci sudah dimaklumkan dengan perkembangan terkini berkenaan.

“Kita masih menunggu kebenaran kerajaan untuk mula membenarkan umrah pada penghujung tahun ini, malah kita masih merangka beberapa SOP perlu dan syarat untuk mengerjakan umrah,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada 21 September.

Beliau menjawab soalan tambahan mengenai perincian terkini ibadat umrah pasca pandemik COVID-19.

Kepada soalan tambahan berhubung jangkaan kadar peningkatan kos untuk menunaikan ibadat haji dan umrah, Ahmad Marzuk berkata, kos haji muassasah bagi 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda ialah RM22,900 bagi setiap jemaah.

Susulan pelbagai langkah pencegahan dan perintah kawalan pergerakan, beliau menjelaskan Malaysia tidak membuka operasi ibadat haji atau umrah ke Tanah Suci untuk dua tahun berikutnya.

“Lembaga TH sedang menyemak dengan terperinci kos menunaikan haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu seperti diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi, termasuk caj visa haji bermula 2020 dan kenaikan cukai nilai tambahan (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus, bermula Julai tahun lalu.

“Kos haji juga dijangka meningkat disebabkan kadar inflasi dan perkembangan terkini peraturan haji Arab Saudi, khususnya berkaitan SOP susulan keadaan pandemik COVID-19 yang belum reda. Ini termasuk keperluan ujian PCR dan suntikan vaksin untuk masuk ke Arab Saudi.

“Turut diambil kira ialah penjarakan fizikal dalam bilik penginapan hotel, khemah dan ketika menaiki kenderaan seperti bas. Bagaimanapun, TH akan memaklumkan kos haji pada musim 2022 apabila dimuktamadkan kelak,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *