Home » Langit Terbuka » Sultan Nazrin menitiskan air mata bertitah mengenai kematian Adib

Sultan Nazrin menitiskan air mata bertitah mengenai kematian Adib

Jenayah kejam yang menimpa Muhammad Adib sama sekali tidak boleh dilindungi, titah Tuanku Nazrin - Foto Kosmo

GEORGETOWN – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menitiskan air mata ketika bertitah mengenai kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Baginda bertitah, Muhammad Adib yang memenuhi tugas negara, menjadi korban dalam peristiwa hitam yang berlaku di tapak kuil Seafield di Subang Jaya.

“Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib.

“Atas nama negara, beta menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada Mohd Kassim Abdul Hamid, Puan Azma Aziz, dan Nurul Najihah, serta seluruh keluarga atas pemergian Muhammad Adib secara tragik,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Sultan Nazrin seterusnya bertegas supaya keadilan terhadap Muhammad Adib tidak tercicir, dan segala usaha hendaklah dilaksanakan untuk mencari tangan-tangan yang melakukan jenayah kejam berkenaan.

“Demi menegakkan kebenaran, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku , ada tanggungjawab agama, tanggungjawab moral, dan tanggungjawab undang-undang untuk tampil membantu siasatan polis.

“Jenayah sekejam ini sama sekali tidak boleh dilindungi,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga menyuarakan kebimbangan terhadap keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai bangsa yang dinikmati negara sejak merdeka.

Menurut baginda, negara akan berada dalam keadaan aman, dan rakyat dapat hidup harmoni selagi undang-undang dipatuhi. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *