Home » Langit Terbuka » Sultan Perak perkenan solat Jumaat di surau seluruh Perak

Sultan Perak perkenan solat Jumaat di surau seluruh Perak

Kebenaran mengadakan solat Jumaat di Perak itu turut meliputi surau yang terdapat di institusi pendidikan, kem tentera, berek polis, jabatan, serta pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat. - Foto Bernama

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat Jumaat di Perak turut dibenarkan untuk dilaksana di semua surau yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), bermula Jumaat ini (10 Julai) susulan dari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekitif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, berkata titah perkenan itu adalah selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, dengan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, kebenaran itu turut meliputi surau yang terdapat di institusi pendidikan, kem tentera, berek polis, jabatan, serta pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai serta berupaya memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bilangan ahli solat Jumaat di surau berkenaan adalah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

“Bagaimanapun kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dengan identiti jemaah yang hadir hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan memasuki ruang solat,” katanya dalam kenyataan, pada 8 Julai.

Beliau berkata, amalan tambahan yang beriringan dengan solat fardu seperti solat sunat Qabliah dan Ba’diah, wirid sesudah solat dan kuliah antara waktu solat Maghrib dan Isyak, serta kuliah selepas solat Subuh turut boleh dilaksana, namun dalam tempoh tidak melebihi 30 minit, berpandukan pematuhan garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan syarat dan kriteria berserta garis panduan yang perlu dipenuhi oleh sesebuah surau untuk menganjurkan solat Jumaat, selain akan mengeluarkan senarai surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh PKPP.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga terdapat sebarang arahan baharu yang dikeluarkan daripada MAIPk,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *