Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor dukacita keputusan mahkamah, gesa penerbitan SIS Forum Malaysia tak lagi guna perkataan ‘Sisters in Islam’

Sultan Selangor dukacita keputusan mahkamah, gesa penerbitan SIS Forum Malaysia tak lagi guna perkataan ‘Sisters in Islam’

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia serta pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sehubungan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, baginda Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

“Ia supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” menurut kenyataan itu.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui kenyataan memaklumkan pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan berkenaan.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya berduka cita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.

MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, MAIS bagaimanapun bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) daripada Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa ini adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara (subject matter approach).

“Beliau juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan ‘orang sebenar’ yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini adalah tertakluk kepada fatwa.

“Ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu ‘Sisters in Islam’ yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam.

“Ini ditambah fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap SIS Forum Malaysia.

Ini kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *