Home » Langit Terbuka » Syarikat Malaysia bakal bangunkan penginapan jemaah haji di Makkah

Syarikat Malaysia bakal bangunkan penginapan jemaah haji di Makkah

Projek oleh Olie Scape itu dalam bentuk rumah bertingkat, yang terletak antara Madinah dan Makkah serta akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perumahan termasuk taman. - Foto FB

PUTRAJAYA –  Sebuah syarikat pembinaan Malaysia, Olie Scape Holdings Sdn Bhd (OSH) akan terbabit dalam projek pembinaan penginapan bagi jemaah haji dari Asia Tenggara di Makkah.

Pengerusi Kumpulan OSH, Datuk Shahoran Johan Ariffin, berkata projek penginapan dalam bentuk perbandaran itu dijangka mampu menampung sehingga 300,000 jemaah.

“Projek ini masih dalam peringkat perbincangan, bagaimanapun pihak kerajaan Arab Saudi sudah meluluskan perancangan pembinaan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara OSH dan Al-Aaly Factory For Prefab Houses Co. Ltd. (AAFPH) di sini.

Shahoran berkata projek dalam bentuk rumah bertingkat yang terletak antara Madinah dan Makkah itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perumahan termasuk taman.

“Ia juga akan dilengkapi dengan sistem kereta api laju kedua, jadi sesiapa yang menginap di situ boleh menunaikan solat Zuhur di Madinah dan solat Asar di Makkah,” katanya.

Mengenai MoU itu, Shahoran berkata ia bagi projek pembinaan perumahan Al Kamel fasa pertama di Makkah yang membabitkan 7,000 unit rumah, daripada keseluruhan 30,000 unit di bawah projek perumahan itu.

Projek pembinaan baki 23,000 unit rumah akan ditawarkan kepada OSH selepas syarikat itu berjaya menyiapkannya dan melaksanakan pakej yang pertama.

“Nilai pelaburan untuk fasa pertama ini adalah kira-kira RM2.4 bilion dan keseluruhannya (30,000 unit) dijangka berjumlah RM12 bilion,” katanya.

Di bawah perjanjian itu, Shahoran berkata AAFPH akan membekalkan komponen sistem bangunan berindustri (IBS) kepada OSH untuk projek berkenaan.

Pada majlis menandatangani MoU itu, Sahoran mewakili OSH, manakala AAFPH diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Syeikh Fahad Alotaibi. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *