Home » Langit Terbuka » Tabung Haji catat jumlah badal haji tertinggi tahun ini

Tabung Haji catat jumlah badal haji tertinggi tahun ini

Setiap pembadal yang ingin melakukan badal haji di bawah Tabung Haji akan ditemuduga terlebih dahulu dan dinilai berdasarkan beberapa kriteria sebelum lulus dan dimasukkan ke dalam pangkalan data Tabung Haji

 

MAKKAH – Tabung Haji catat jumlah pemohon untuk khidmat badal haji sebanyak 4,927 orang bagi musim haji 1439H, permohonan yang terbanyak dalam sejarah perkhidmatan badal haji oleh Tabung Haji setakat ini.

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata kesemua permohonan badal oleh umat Islam Malaysia telah selamat diserahkan kepada pembadal yang terdiri daripada rakyat Arab Saudi, Indonesia dan Thailand.

Pada musim haji yang lepas, beliau berkata sebanyak 3,900 permohonan badal haji telah dibuat oleh umat Islam di Malaysia.

Khidmat Badal Haji adalah satu khidmat sokongan kepada umat Islam Malaysia iaitu mereka yang ingin melaksanakan badal haji kepada anggota keluarga atau sesiapa yang telah meninggal dunia.

Pendaftaran untuk badal haji bagi musim 1439H telah dibuka di Malaysia pada bulan Mei melalui media sosial seperti Facebook Tabung Haji dan aplikasi WhatsApp. Umat Islam yang ingin menggunakan khidmat ini telah mendaftar di cawangan-cawangan Tabung Haji di Malaysia.

Setiap pembadal yang ingin melakukan badal haji di bawah Tabung Haji akan ditemuduga terlebih dahulu dan dinilai berdasarkan beberapa kriteria sebelum lulus dan dimasukkan ke dalam pangkalan data Tabung Haji sebagai pembadal.

“Bayaran yang dibuat (kepada pembadal) akan dilakukan di dalam dua peringkat, iaitu sebanyak 1,000 riyal Arab Saudi sebelum wukuf dan 1,400 riyal Arab Saudi akan dijelaskan selepas wukuf.

“Sebelum menerima pembayaran kedua, pihak Tabung Haji akan memastikan bahawa pembadal-pembadal ini telah melaksanakan badal umrah dan badal haji bagi si mati,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Aziz berkata Tabung Haji sering menerima sungutan daripada umat Islam Malaysia berhubung bilangan kuota bagi permohonan badal haji yang disediakan untuk setiap musim haji

“Dari segi kuota, sebenarnya Tabung Haji tidak mempunyai had (bilangan pemohon) untuk sesiapa yang ingin menunaikan badal haji cuma terdapat masalah bagi bilangan pembadal-pembadal haji di sini.

“Pada tahun ini, kita buat sedikit kelainan di mana kita membuka permohonan secara lebih terbuka dan mengehadkan jumlah permohonan kepada 5,000 pemohon. Sekiranya terdapat permohonan lebih dari 5,000, kita akan bawa ke tahun hadapan,” katanya.

Setakat ini, jumlah pembadal yang berada di dalam pangkalan data Tabung Haji ialah kira-kira 5,600 orang.

Tabung Haji juga sudah menaik taraf sistem penyerahan permohonan badal haji kepada pembadal di Makkah di mana jumlah masa urusan, bermula pendaftaran sehingga lafaz akad, dipendekkan kepada kurang dua minit daripada enam minit sebelum ini bagi setiap pembadal. – Bernama

Artikel Berkaitan

RUU Mufti bukan sesuatu yang baru dan radikal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 bukanlah akta atau undang-undang baharu dan radikal. Mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *