KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa pengurusan syarikat dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan yang 100 peratus bumiputera Muslim.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata, bagaimanapun pelbagai sokongan teknikal diperlukan seperti inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH.
“TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam Malaysia menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan haji.
“Namun kebelakangan ini, ianya lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa yang sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mustakim berkata, kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.
Bagi menangani masalah tersebut, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan yang mana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten.
“Bagi mencapai matlamat ini, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan ini adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.
“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelaksanaan pelan penjenamaan TH merupakan usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji.
Terdahulu TH telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial.
TH memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang memantau rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial sama ada video atau pautan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar yang boleh mencemarkan imej TH.–AlHijrah Online



KOMEN