Home » Langit Terbuka » Tabung Haji sedia urus keselamatan, kesihatan jemaah haji

Tabung Haji sedia urus keselamatan, kesihatan jemaah haji

Tabung Haji giat memastikan bakal jemaah mendapat vaksinasi masing-masing dan lengkap dos Covid-19 seperti yang dikehendaki Arab Saudi sebelum mereka dibenarkan memasuki tanah suci. - Foto Straits Times

KUALA LUMPUR – Meskipun ibadah haji ditangguhkan dua kali akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia, Tabung Haji (TH) tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi pandemik dan perkembangan semasa di Arab Saudi.

 

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, perancangan dan persiapan itu telah dilaksanakan sejak musim haji 2020 sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan Rukun Islam kelima itu.

 

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan kursus haji kepada bakal jemaah secara dalam talian iaitu sebanyak 14 siri termasuk tambahan satu siri khusus menekankan prosedur operasi standard (SOP) baharu di Arab Saudi serta hukum hakam ibadat haji dalam suasana semasa penularan wabak Covid-19.

 

Katanya, TH juga giat memastikan bakal jemaah mendapat vaksinasi masing-masing dan lengkap dos Covid-19 seperti yang dikehendaki Arab Saudi sebelum mereka dibenarkan memasuki tanah suci.

 

Selain itu TH juga telah melaksanakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pada tahun terdahulu yang menekankan istitha’ah atau kemampuan menunaikan haji dalam situasi wabak.

 

“Dalam muzakarah ini penting untuk kita memperhalusi dan memberi ketetapan ibadah haji dalam norma baharu dengan melihat kepada kekangan pergerakan dan terhalang semasa melaksanakan ibadah sekiranya berlaku penularan wabak semasa melaksanakan haji,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

 

Syed Saleh berkata, TH juga telah melaksanakan perjumpaan dengan pihak pengendali operasi di tanah air melibatkan stesen berlepas dan mengadakan bengkel bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapat panduan serta memastikan SOP petugas dan protokol kesihatan dijaga.

 

Beliau berkata, pasukan kesihatan KKM akan ditempatkan di lapan stesen berlepas di Malaysia bagi memantau kesihatan jemaah sebelum berangkat ke tanah suci, selain TH juga akan menambah jumlah petugas kesihatan terutama pasukan kesihatan awam untuk ditempatkan di tiga lokasi utama iaitu di Jeddah, Madinah dan Mekah. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *