Home » Persuasif » Berita Gembira Buat Semua

Berita Gembira Buat Semua

SIAPA mahu dengar berita baik? Pasti ramai akan mengangkat tangan atau mengangguk kepala. Reaksi itu berlaku secara spontan tanpa perlu diminta-minta. Lumrah bagi manusia inginkan sesuatu yang baik-baik sahaja tetapi apabila menerima perkhabaran kurang menyenangkan maka reaksinya pasti berlainan.

Persepsi ini yang perlu diberikan perhatian serius kerana sesuatu yang berlaku sama ada perkhabaran gembira atau sebaliknya pasti ada hikmah dan rahmatnya.

Contoh klasik ialah apabila anak mendapat mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, habis dicanang seantero dunia, dimuatnaik ke dalam media sosial dengan status berbunga-bunga. Namun apabila keputusan si anak kurang sikit jumlah A dan lebih dimonopoli C, bukannya diberi dorongan supaya berusaha lebih gigih tapi si anak itu pula yang diherdik.

Perlu diingatkan, keputusan kurang menyerlah itu bukannya tanda-tanda besar kiamat jadi jangan bimbang. Ia boleh dianggap sebagai ‘wake up call’ untuk si anak menggandakan usaha, manakala inilah pula peluang untuk ibu bapa bermuhasabah dan mencari penyebab, mungkin kerana kurangnya tumpuan diberikan kepada si anak atau kerana terlalu memanjakan mereka dengan pelbagai gajet pintar yang menyebabkan anak-anak menjadi kurang pintar!.

Itulah sebenarnya hikmah dan rahmat, apa yang tersirat hakikatnya ia adalah berita gembira. Kena ingat Allah Yang Maha Adil dan Saksama tidak pernah menjadikan sesuatu perkara itu secara sia-sia.

Ia adalah muktamad atau ada sesiapa yang mahu pertikaikan Kebijaksanaan Allah?
Hakikatnya berita gembira kepada orang beriman ini bukannya benda baharu, tetapi ia telah diuar-uarkan lebih 1,000 tahun lalu, melalui al-Quran dan hadis namun seperti dilupakan atau memang terlupa.

Apa yang indahnya tentang Islam ialah meskipun umatnya selalu sahaja terlupa tetapi Pencipta mereka tidak pernah sekalipun melupakan hamba-hamba-Nya.

Tajuk, ‘Berita Gembira Buat Semua’ yang nampak seperti mudah tapi sebenarnya ramai terkhilaf itulah yang dibincangkan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk dengan panelisnya, Ketua Jabatan Siasah Syariah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Syarifah Hayaati Syed Ismail yang dikendalikan oleh Ustazah Nor Akmal Abdul Malik dari Bahagian Daie dan Al Rahmah YADIM sebagai moderator.

Panelis memulakan bicaranya dengan menarik perhatian pelayar bahawa dalam dunia sekarang terlalu banyak ‘berita gembira’ namun ia tidak boleh ditelan dengan begitu sahaja tetapi sebaliknya amat perlu tabayyun terlebih dahulu.

“Tetapi dalam Islam iaitu al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW berita gembiranya atau disebut basyir atau busyra adalah pasti. Berita gembira untuk orang beriman ialah apabila segala perbuatan yang dilakukannya berasaskan kepada kedua-dua sumber itu pasti akan dapat ganjaran, itulah berita gembiranya.

“Daripada Abu Said Al Khudri dan Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Riwayat Bukhari,” katanya.

Ditanyakan oleh moderator, siapakah yang layak menerima berita gembira itu dan apakah reaksi yang perlu dilakukan mereka?

Syarifah Hayaati berkata: “Ini yang unik dan hebat kerana sesiapa sahaja layak menerima khabar gembira ini, tiada pengecualian, tanpa mengira jawatan dan umur, janji beriman dan beramal soleh sahaja. Reaksi yang perlu dilakukan amat mudah iaitu perlu bersyukur,” katanya.

Formula berita gembiranya adalah mudah:
* Diuji dengan kesukaran, bersabar – berita gembiranya Allah akan sentiasa dekat dengannya.

* Dalam setiap perbuatan sentiasa dimulakan dengan nama Allah – Dia akan memberikan ganjaran pahala.

* Tidak leka dengan nikmat dan sentiasa bersyukur – Allah akan tambahkan lagi rezeki.
Dalam pada itu, menjawab soalan pelayar program itu yang mengakui dirinya bukannya seorang yang alim, selalu juga melakukan kesalahan tetapi menyesali perbuatannya.

Syarifah Hayaati menjelaskan bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Dia sentiasa menerima taubat hamba-Nya yang ingin berubah ke arah kebaikan.

“Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, jika terdetik dalam hati untuk berubah jadi lebih baik, Alhamdulillah itu petanda Allah sayangkan kita. Mudah-mudahan platform hari ini menjadi saksi bahawa kita telah berusaha untuk berubah.

“Mintalah dari Allah agar terus diberikan petunjuk. Caranya? Teruskan berdoa, kena berusaha untuk belajar iaitu jika nak sihat kenalah cari makanan sihat. Jarang orang dapat perasaan macam ni (ingin berubah) kena bersyukur. Anda adalah manusia terpilih. Hati boleh diibaratkan seperti ‘suis besar’ dalam rumah, rumahnya sempurna dengan pelbagai kelengkapan elektrik seperti lampu, kipas, mesin basuh, air-cond, televisyen tapi jika suis besarnya rosak langsung tiada guna,” katanya.

Antara ciri-ciri orang soleh yang layak menerima berita gembira ini ada disebutkan Allah dalam Surah At-Taubah:112: “(Mereka itu ialah):

1. Orang yang bertaubat
2. Yang beribadat
3. Yang memuji Allah
4. Yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam)
5. Yang rukuk
6. Yang sujud
7. Yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan
8. Yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman (yang bersifat demikian).”

“Apa yang menarik dalam Islam ini setiap benda baik dibuat dan orang lain mencontohinya lalu melakukannya, kita akan turut dapat pahala apa yang dilakukan oleh orang itu. Itu antara berita gembiranya, akaun atau rantaian pahala kita tidak terputus, Insya-Allah,” katanya.

Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Ketua Meja Agama di Utusan Malaysia
Berpengalaman luas sebagai wartawan, kini menyumbangkan penulisannya di pelbagai platform.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *