Home » Langit Terbuka » Tangkap Khalwat: Dr Asri garis enam panduan umum

Tangkap Khalwat: Dr Asri garis enam panduan umum

Mufti Perlis berkata, memandangkan Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi ‘tangkap khalwat’ mestilah diperketatkan

SHAH ALAM – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggariskan enam panduan umum operasi tangkap khalwat.

Menerusi catatan beliau diblognya pada 2011, Dr Asri berkata, memandangkan Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi ‘tangkap khalwat’ mestilah diperketatkan.

Katanya, ini kerana operasi tangkap khalwat, selalu menimbulkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam dalam hal ini.

“Ramai orang menyangka tanpa operasi tangkap khalwat maka bertambah perzinaan dalam masyarakat, sedang mereka lupa zina itu berkembang disebabkan maksiat terbuka seperti media, hiburan, pentas seni dan seumpamanya yang secara terang mempromosikan maksiat.

“Malang sekali, jika maksiat tertutup diintip dan dicari sementara yang nyata dibiarkan dan dipromosi,” katanya menerusi catatan ‘Minda Tajdid’ beliau.

Dr Asri berkata, antara cadangannya ialah pertama, “Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus (mengintip aib orang lain) berkembang dalam masyarakat Islam.”

“Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperolehi berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut.

“Seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Pemberi maklumat memperolehi secara jelas, bukan tajassus atau intipan. Jika pemberi maklumat melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik,” katanya.

Yang kedua katanya, “Tidak boleh operasi itu sendiri berasaskan tajassus,”.

“Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas.

“Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. Maka tajassus seperti memeriksa bilik ke bilik, atau meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kemaslahatan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan ruh Islam. Ia menggalakkan sikap prasangka dan boleh memalukan atau menjatuhkan maruah mereka yang diperiksa,” katanya.

Sementara garis panduan ketiga ialah, “Operasi tidak boleh berasaskan maklumat yang tidak pasti,”.

“Sekalipun tanpa intipan, tetapi jika berita berasaskan syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. al-Quran melarang menerima perkhabaran orang fasik.

“Maka pemberi maklumat atau informer yang diketahui terlibat dengan kerja-kerja fasik secara jelas hendaklah ditolak,” katanya.

Dalam pada yang keempat katanya, pihak pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim, secara langsung atau tidak tanpa kesedaran sendiri melakukan al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.

“Nabi SAW tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara Muslim.

“Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini,” katanya.

Yang kelima katanya, “Tidak boleh didedahkan maksiat ini kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman.”

“Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam.

“Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media massa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain,” katanya.

Yang terakhir katanya, “Tidak boleh menuduh mereka yang berkhalwat itu berzina selagi tiada empat orang saksi yang melihat secara terperinci proses zina itu berlaku tanpa syak.

“Jika pegawai itu menuduh tanpa bukti, maka hendaklah dibicarakan di bawah peruntukan qazaf,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *