Home » Langit Terbuka » Tekad tentang ancaman Daesh

Tekad tentang ancaman Daesh

KUALA LUMPUR 10 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak perlu meletakkan tekad untuk menentang sebarang ancaman keganasan selepas siri terbaharu serangan kumpulan militan Daesh ke atas gereja di Tanta dan Iskandariah, Mesir.
Perdana Menteri berkata, masing-masing tidak boleh mudah menyerah kalah memandangkan matlamat Daesh hanyalah untuk memecahbelahkan masyarakat Islam, Kristian atau penganut-penganut agama lain.
“Saya begitu jelak dengan sera­ngan pengecut di gereja di Tanta dan Iskandariah. Pada masa ber­kabung ini, ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa yang hilang dan seluruh rakyat Mesir.
“Serangan ini adalah satu lagi peringatan kepada ancaman keganasan. Kita tidak boleh me­nyerah kalah dan setiap kekejaman perlu menguatkan tekad kita,” katanya menerusi Facebook beliau, hari ini.
Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam insiden letupan bom di dua gereja Kristian Koptik semalam dalam kes serangan terkini oleh militan ke atas penganut agama minoriti.
Letupan pertama berlaku di Tanta, iaitu di delta Sungai Nil kurang dari 100 kilometer di pinggir Kaherah, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan 78 yang lain.
Letupan kedua berlaku beberapa jam kemudian oleh pengebom bunuh diri di Iskandariah, yang menjadi tempat tinggal Pope Koptik dan insiden itu membunuh 11 orang termasuk tiga anggota polis dan mence­derakan 35 yang lain.
Kumpulan militan Daesh di Mesir menyebabkan konflik di Semenanjung Sinai sejak beberapa tahun, menggiatkan se­rangan terhadap penganut Kristian di Mesir kebelakangan ini.
Serangan pengebom bunuh diri di gereja Koptik terbesar di Kaherah telah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa dan mence­derakan lagi puluhan orang pada Disember lalu, manakala pada tahun 2015, sebanyak 21 Kristian Mesir yang bertugas di Libya maut angkara kumpulan militan itu.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *