Home » Langit Terbuka » Tentera Malaysia Di Arab Saudi Akan Dibawa Pulang

Tentera Malaysia Di Arab Saudi Akan Dibawa Pulang

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet minggu lalu kerana Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa besar dunia.

KUALA LUMPUR – Tentera Malaysia di Arab Saudi akan dibawa pulang dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet minggu lalu kerana Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa besar dunia.

“Kabinet membuat keputusan itu (bawa pulang tentera Malaysia) minggu lalu. Kita menunggu persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dibawa keluar.

“Kita juga menunggu kerjasama daripada Kementerian Luar yang akan membantu urusan ini,” katanya dalam wawancara bersama kumpulan media di Kementerian Pertahanan, hari ini

Badan Hak Asasi Manusia, Lawyers for Liberty sebelum ini mendesak Kementerian Pertahanan menghentikan semua penyertaan ketenteraan dalam konflik di Yaman dan menarik balik tentera Malaysia yang ditempatkan di Riyadh.

Malaysia menempatkan tentera di Arab Saudi sejak tahun 2015 bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman yang sedang berhadapan konflik.

Mohamad juga berkata, Malaysia sentiasa komited dengan dasar berkecualinya dengan mana-mana negara dan akan mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara Asia Barat khasnya Arab Saudi, Yaman, Iraq, Syria dan negara rantau Arab.

“Malaysia sentiasa akan bersahabat dengan negara lain dan jiran. Kita tidak mahu terbabit dengan konflik dengan negara jiran Arab Saudi.

“Tapi kita menghantar tentera pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kita ada MALBATT kira-kira 800 anggota tentera menjaga kestabilan di Lubnan di bawah panji PBB,” katanya.

Mohamad turut berkata, Kementerian Pertahanan di bawah pimpinannya akan meneruskan misi dan visi dirangka kerajaan dahulu.

“Setakat ini kita akan laksanakan apa yang dipersetujui kerajaan dahulu. Kalau ada kelemahan, kita akan perbaiki dan tingkatkan mutu kementerian kepada rakyat,” katanya.

Menyentuh soal ketirisan dalam kementerian, beliau berkata Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang akan meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara termasuk kementeriannya.

Beliau turut mahu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diteruskan kerana ia satu platform berkesan menanam semangat patriotik dan nasionalisme golongan muda menyayangi negara. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *