Home » Langit Terbuka » Teruskan Program Penggajian Semula PATI

Teruskan Program Penggajian Semula PATI

Seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dalam program berkenaan bagi tempoh 15 Februari 2016 hingga 28 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India (PRISMA) mahu kerajaan meneruskan semula Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Presiden PRESMA, Ayoob Khan Muhamad Yakub, berkata, langkah itu menjimatkan kos kerana ketika ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM5 juta sebulan untuk menanggung kos makanan PATI di depoh tahanan seluruh negara.

Beliau berkata, kos itu boleh dikurangkan jika tahanan yang layak dibenarkan bekerja semula.

“Program penempatan semula atau ‘Rehiring’ yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini berakhir 30 Jun lalu dan kami berharap ia diteruskan.

“Ia turut menjimatkan kos majikan kerana tidak perlu menggunakan ejen mencari pekerja asing dan lebih cepat ,” katanya kepada media selepas taklimat bersama Ahli Majlis Penasihat Kerajaan di ibu negara, hari ini.

Mengulas isu sama, Presiden PRISMA, T Muthusamy, berkata masalah kekurangan pekerja menjejaskan operasi hampir 15,000 restoran diusahakan ahlinya dan PRESMA di seluruh negara.

Katanya, pengusaha restoran berdepan masalah kekurangan hampir 40 peratus pekerja dan sukar mencari pekerja tempatan.

Beliau berkata, mereka sentiasa membuka peluang dan mengalu-alukan pekerja tempatan yang berminat, selain bersetuju dengan cadangan kadar minimum gaji RM1,500 oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

“Ketika ini, gaji minimum pekerja restoran adalah RM1,000, namun jumlahnya akan dinaikkan berdasarkan pengalaman dan kemahiran pekerja.

“Kita juga menggaji tukang masak tempatan pada gaji RM2,500 dan ketika ini hanya lima peratus adalah warga tempatan manakala bakinya pekerja asing,” katanya.

Program Rehiring yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia bertujuan memberi permit kerja sah kepada PATI bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dalam program berkenaan bagi tempoh 15 Februari 2016 hingga 28 Mei lalu. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/445940/teruskan-program-penggajian-semula-pati

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *