Home » Langit Terbuka » TH pertimbang kadar kemampuan pengiring, jemaah rayuan

TH pertimbang kadar kemampuan pengiring, jemaah rayuan

Menter di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan dalam pemberian subsidi adalah di bawah pertimbangan TH mengikut prinsip istito’ah iaitu berdasarkan kemampuan jemaah haji tersebut. - Foto Utusan Malaysia

PARIT BUNTAR – Tabung Haji (TH) akan mempertimbangkan kadar kemampuan bagi pengiring dan jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk menunaikan fardu haji daripada membayar kos penuh tanpa subsidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, setakat ini TH dan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dasar baharu tanpa subsidi bagi jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mahupun individu yang mengiringi mahram untuk menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan.

“Disebabkan perkara ini tular, saya akan merujuk semula kepada TH untuk membincangkan semula polisi sebenar yang ditetapkan TH supaya boleh mengambil kira kes membabitkan pengiring dan dan jemaah yang membuat rayuan.

“Kenyataan yang tular hari ini mungkin berniat jahat yang mana mereka tulis ‘tiada subsidi’ kemudiannya ada tulisan yang kecil tertulis ‘kepada yang merayu dan mengiringi’.

“Di sini saya nak perjelaskan bahawa kita tidak keluarkan kenyataan itu dan kenyataan rasmi yang kita keluarkan adalah untuk yang merayu dan mengiringi sekiranya berjaya, pihak TH akan mengambil kira kadar kemampuan dan itu menjadi pertimbangan kita yang paling utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Kerian, di Dewan Seri Kerian, di sini.

Isu berkenaan timbul susulan jawapan daripada pentadbir akaun Facebook Lembaga Tabung Haji baru-baru ini ketika menjawab komen pengguna Facebook dalam satu hantaran berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih bagi tahun semasa.

Mujahid berkata, sebarang keputusan dalam pemberian subsidi adalah di bawah pertimbangan TH mengikut prinsip istito’ah iaitu berdasarkan kemampuan jemaah haji tersebut.

Katanya, kuota rasmi yang ditetapkan TH setiap tahun adalah 30,200 jemaah dan sekiranya dari jumlah itu ada penerima yang menolak disebabkan tidak cukup wang, uzur dan sebagainya barulah pihak TH akan mempertimbangkan kes-kes rayuan dan pengiring.

“Kita telah jelaskan yang subsidi dikekalkan cuma kes rayuan, ia mengambil kira dari segi kemampuan (jemaah haji) dan pertimbangan Tabung Haji. Tidak boleh sama untuk semua kategori (rayuan).

“Rayuan ini sama ada dia merayu kerana mengiringi mahram atau jemaah haji yang uzur mahupun rayuan yang tidak mengikut giliran yang mana individu terbabit membuat rayuan dan berjaya.

“Ini bermaksud TH akan membuat perkiraan itu dari segi kemampuan termasuk kemampuan dari segi kos,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *