Home » Langit Terbuka » Tiada aset TH dicairkan

Tiada aset TH dicairkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Syarikat Tujuan Khas menjalankan proses rehabilitasi terhadap aset Tabung Haji yang dipindahkan melalui strategi penstrukturan semula. - Foto Ikim.my

KUALA LUMPUR – Semua aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik kerajaan tidak pernah dicairkan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata SPV menjalankan proses rehabilitasi terhadap aset yang dipindahkan melalui strategi penstrukturan semula itu.

“Sehingga kini tiada sebarang aset dipindahkan daripada TH kepada SPV telah dicairkan. Pemindahan aset berkenaan kepada SPV adalah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi itu.

“Yang Berhormat Pendang (Awang Hashim) kena beritahu orang di bawah tiada aset (TH) yang dicairkan sehingga hari ini daripada nilai RM19.9 bilion semua aset yang telah dipindahkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Awang (PAS-Pendang) yang ingin mengetahui sama ada aset TH yang dipindahkan kepada SPV dicairkan.

Menjawab soalan tambahan Awang mengenai siapa yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPV, Mujahid berkata SPV dikenali sebagai Urus Harta Jemaah Sdn Bhd terdiri daripada mereka yang berpengalaman.

“Lembaga Pengarah terdiri daripada pegawai Kementerian Kewangan dan seorang pengarah bebas yang berpengalaman manakala pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc),” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *