Home » Langit Terbuka » Tiada campur tangan politik

Tiada campur tangan politik

Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim berkata, segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan akta yang terkandung dalam Tabung Haji dan menafikan institusi itu dikawal oleh Bank Negara Malaysia - Foto Ismaweb

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hari ini menjelaskan bahawa tidak berlaku sebarang campur tangan politik daripada mana-mana menteri kabinet di negara ini terhadap institusi tersebut.

Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim berkata, segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan akta yang terkandung dalam Tabung Haji dan menafikan institusi itu dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata beliau, kawal selia tersebut pula bukan bermaksud Tabung Haji berada di bawah BNM kerana tiada sebarang perkara dalam Akta Tabung Haji yang menyatakan bahawa institusi tersebut bernaung di bawah bank pusat itu.

“Cuma Lembaga Pengarah mahukan tadbir urus sendiri untuk BNM melakukan audit ke atas operasi Tabung Haji. Sebagaimana BNM melakukan audit ke atas semua bank-bank komersil yang lain.

“Melalui audit tersebut, salah silap, penambahbaikan dan sebagainya akan dicadangkan. Dalam bab ni, BNM memang mempunyai pasukan yang kuat dan berpengalaman.

“Kalau ada salah laku, akan dapat dihidu lebih awal dan langkah mengatasinya dapat dilakukan. Dalam menjalankan tugas ini, BNM tidak menerima arahan daripada Menteri Kewangan kerana bank itu menjalankan tugas berpandukan Akta Bank Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ashraf yang juga Ahli Komiti Syariah Tabung Haji berkata, Lembaga Pengarah baharu telah melantik Pricewaterhouse Cooper (PWC), iaitu sebuah firma audit antarabangsa yang bebas politik dan mempunyai kredibiliti untuk melakukan semakan mengenai kedudukan sebenar Tabung Haji.

“Tiada arahan untuk mencari salah sesiapa, melainkan menyatakan hakikat sebenar. Apa yang dijumpai adalah hakikat sebenar tidak sama sebagaimana dalam laporan kewangan. Sahabat-sahabat boleh lihat nota Lembaga Pengarah dalam dokumen yang dibentangkan di Parlimen dan boleh minta daripada mana-mana ahli parlimen terdekat,” jelasnya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *