Home » Langit Terbuka » Perkasa, Jais akan hadir jamuan Krismas antara agama

Perkasa, Jais akan hadir jamuan Krismas antara agama

Majlis makan malam itu yang akan diadakan di Hotel Dorsett Grand Subang esok bertujuan meraikan pelbagai komuniti yang hidup bersama di negara ini. -Foto Hiasan, FMT

PETALING JAYA – Lebih 200 wakil daripada pertubuhan berlainan kaum dan agama dijangka menghadiri majlis makan malam Krismas anjuran sebuah kumpulan beragama Kristian pada minggu ini.

Kumpulan memperjuangkan hak orang Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pemuda PAS mengesahkan akan menghadiri majlis itu.

Gerakan Kristian untuk Keamanan dan Keharmonian Malaysia (CPHM) dalam satu kenyataan berkata, Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), Datuk Azman Amin akan menghadiri majlis itu.

Katanya, wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga dijangka hadir.

CPHM berkata, majlis makan malam itu yang akan diadakan di Hotel Dorsett Grand Subang esok itu bertujuan meraikan pelbagai komuniti yang hidup bersama di negara ini.

“CPHM berusaha menjadi pemangkin untuk mendorong dan melengkapi semua warganegara bagi memupuk keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat dengan menekankan kasih sayang dan pemaafan serta memfokuskan jalinan dengan komuniti lain, lebih memahami orang lain, mewujudkan muhibah dan membina kepercayaan melalui interaksi positif dalam membangunkan negara.

“CPHM berharap himpunan kumpulan berbilang kaum dan agama dalam majlis makan malam Krismas ini akan sekali lagi melambang dan mencerminkan ciri unik terbaik Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai agama dan budaya, hidup secara aman serta harmoni bersama ketika meraikan kepelbagaian dalam negara ini.” -FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *