Home » Citra Yadim » “Tiada siapa boleh pertikai solidariti rakyat Malaysia untuk Palestin”

“Tiada siapa boleh pertikai solidariti rakyat Malaysia untuk Palestin”

KUALA LUMPUR – “Untuk anda datang ketika negara ini dan Palestin berada dalam kesukaran, dari dasar hati kami, saya ucapkan berbanyak terima kasih.

“Apabila saya lihat bendera Palestin di Menara Berkembar Petronas, Tabung Haji, kenderaan dan seluruh negara ini, saya sangat tersentuh, dengan semua yang anda lakukan, tiada siapa boleh pertikai solidariti rakyat Malaysia untuk Palestin,” ujar Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Luahan rasa terima kasih itu disampaikan beliau dalam majlis ringkas penyerahan sumbangan dana daripada agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di kedutaan negara tersebut pada 3 Jun.

Sebanyak RM20,000 disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Ajib Ismail sebagai simbolik mewakili agensi agama Islam persekutuan.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan My Aqsa, Suwardi Yaakob dan kakitangan kedutaan.

Turut disampaikan ialah sumbangan untuk 100 keluarga Palestin dengan setiap mereka menerima RM500.

Dalam majlis tersebut, Walid berkata sumbangan yang diterima tepat pada masanya, sambil menambah ia boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat Palestin di negara ini.

“Ketika ini ada keluarga dan para pelajar Palestin di negara ini, di Sekitar Kajang dan Cyberjaya umpamanya, kami bantu dengan beri sumbangan bakul makanan,” jelasnya.

Beliau turut meminta agar disebarkan lagi kisah kisah kekejaman Israel pada semua.

“Disaat kita berada di sini, penduduk Gaza umpamanya masih tiada bekalan air, terbaharu saya diberitahu 46 buah sekolah diserang Israel,”jelasnya.

Sementara itu sumbangan juga akan disampaikan kepada rakan rakan badan bukan kerajaan yang mempunyai operasi langsung di negara berkenaan atau yang aktif dalam memperjuangkan isu pembelaan Palestin pada 4 Jun. 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *