Home » Langit Terbuka » Tindakan hina Islam sudah dijadikan trend

Tindakan hina Islam sudah dijadikan trend

Hantaran di Facebook Mufti Perlis meminta golongan bukan Islam supaya beradap dan mengawal tingkah laku mereka. - Foto FB

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan menghina Islam bukan lagi kes terpencil sebaliknya telah menjadi trend yang cuba membakar kemarahan umat Islam di negara ini.

Katanya, hal demikian kerana masih terdapat hantaran-hantaran di media sosial yang menghina Islam dilakukan oleh segelintir masyarakat bukan Islam.

Sehubungan itu, Mohd. Asri meminta masyarakat bukan Islam agar saling berpesan kepada rakan-rakan untuk beradab dan mengawal tingkah laku mereka.

“Kepada saudara-saudara non-Muslim (bukan Islam), sekali pun masyarakat Muslim di negara ini ada kelemahannya namun tahap toleransi dan kesudian berkongsi amat baik jika dibandingkan dengan nasib umat Islam minoriti di India, China dan negara lain.

“Janganlah saudara-saudara cemari nikmat dan kelebihan hidup harmoni dalam negara ini yang kita kecapi selama ini.,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.

Kata Mohd. Asri lagi, orang bukan Islam dinasihatkan supaya berpesanlah kepada sahabat handai sekalian agar beradab dan tahu mengawal tingkah laku hidup di Malaysia ini.

“Jangan kerana sikap biadab dan dendam kesumat maka saudara-saudari membakar negara aman yang telah lama kita bina. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran.

“Orang Muslim ini masih sabar jika dihina dirinya dan keluarganya tetapi mereka tidak akan bersabar lagi jika dihina Islam dan Rasul. Sayangi dan hargailah nikmat keamanan yang kita miliki. Pohon memahami keadaan,” katanya.- Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

Ulama galakkan kesederhanaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam mempromosi kesederhanaan melalui tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi dan membimbing umat

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *