Home » Langit Terbuka » Tok Guru Pak Teh Mad sempat solat sehingga ke hujung nyawa

Tok Guru Pak Teh Mad sempat solat sehingga ke hujung nyawa

Menurut anaknya, Allahyarham sempat meminta kakitangan hospital membantunya untuk menunaikan solat Isyak sebelum tidur semalam. - Foto FB

ALOR SETAR – Tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh, 96, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang pada 15 September akibat jangkitan paru-paru.

 

Menurut anaknya, Wan Najidah Ahmad, 46, Allahyarham menghembus nafas di sisi dua doktor yang merawatnya pada pukul 12.57 pagi.

 

“Doktor beritahu ada jangkitan pada paru-paru arwah. Ayah dimasukkan ke hospital pada malam Jumaat lepas dan kesihatannya merosot walaupun kuman di paru-paru sedikit sahaja. Tuhan lebih sayangkan arwah, kami reda.

 

“Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang Kuala Nerang hari ini dan pengebumian akan diuruskan oleh pihak hospital,” katanya di sini.

 

Kata Wan Najidah, anggota keluarganya reda kerana tidak berpeluang menguruskan pengebumian tersebut memandangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

 

“Saya harap semua doakan permudahkan urusan ayah saya. Kami sekeluarga reda kerana sejak dibawa ke hospital Jumaat kami langsung tidak boleh ziarah arwah. Kebumi pun hospital akan uruskan,” katanya.

 

Bercerita lanjut katanya, Allahyarham sempat meminta kakitangan hospital mengurusnya untuk solat Isyak sebelum tidur semalam.

 

“Arwah suka solat walaupun tak sihat ayah akan solat dengan sempurna iaitu berdiri. Cuma bila keadaan kesihatannya makin tidak baik ayah akan solat duduk.

 

“Semalam ayah sempat solat sehingga hujung nyawanya, “ katanya.

 

Ahmad meninggalkan seorang isteri, Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83 dan 10 anak.

 

Dilahirkan pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung  Mukim Padang Terap, Allahyarham merupakan Pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah di sini.

 

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Mekah.

 

Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *