PUTRAJAYA, 26 November – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus memperkukuh jaringan kerjasama serantau apabila menerima kunjung hormat delegasi Majelis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusat Muhammadiyah dari Indonesia di ibu pejabat YADIM, di sini, hari ini.
Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan ruang kerjasama dua hala dalam bidang dakwah, pembangunan pendakwah, serta pengimarahan masjid.
Ketibaan delegasi disambut oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, bersama Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Ustaz Abd Razak Aripin; Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa YADIM, Encik Mohammad Hafez Azmi; serta Pegawai Khas Yang Dipertua, Encik Muhammad Ismail Dzulkarnain.
Delegasi Muhammadiyah pula diketuai oleh Ketua Majelis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusat, Profesor Dr. Ustadi Hamsah, diiringi Pengarah Pendidikan Ulama Tarjih, Dr. Rafiq Muzakkir; wakil Pendidikan Ulama Tarjih, Ustaz Endi Prasetya; wakil Divisyen Media, Ustaz Asep Setiawan; serta anggota delegasi, Encik Beta Pujangga Mukti.
Dalam sesi perbincangan tersebut, YADIM berkongsi peranan dan hala tuju agensi dalam melahirkan barisan pendakwah berwibawa, manakala pihak Muhammadiyah membentangkan inisiatif mereka dalam pembangunan mubaligh, pengkaderan ulama, serta pengimarahan institusi masjid.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneroka pelaksanaan program bersama, merangkumi pertukaran pengalaman dalam pendekatan dakwah, gerak kerja kebajikan sosial, dan pengembangan ilmu.
Untuk rekod, Muhammadiyah merupakan antara organisasi Islam terbesar di Indonesia yang aktif menggerakkan dakwah menerusi sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial, serta pembangunan masyarakat.
Pertemuan ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara YADIM dan Muhammadiyah bagi menyumbang kepada kelestarian syiar dakwah Islam di rantau Asia Tenggara.



KOMEN