Home » Citra Yadim » Ummatic 2.0 dianggap berjaya, 3.0 menanti

Ummatic 2.0 dianggap berjaya, 3.0 menanti

IPOH – Selepas tiga hari, Festival Ummatic 2.0 hari ini (6 Oktober) melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutup yang cukup meriah.

Perasmian penutupan festival disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Yang Berhormat Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli di pentas utama program, berhadapan Masjid Muhammad Al Fateh di sini.

Dalam ucapan perasmian penutupan, Mohd Hatta memuji kejayaan penganjuran Festival Ummatic 2.0 dan berkata, masjid yang berjaya dimakmurkan akan membolehkan masyarakat Muslim semakin dihormati.

“Jika masyarakat melihat masjid itu makmur dan menjadi tempat kita menyelesaikan masalah setempat, maka komuniti Muslim di kawasan itu akan menerima penghormatan semua.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM),Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, selaku Pengarah Bersama program pula berkata, melihat kepada kejayaan penganjuran kali ini, beliau yakin Festival Ummatic 3.0 pada 2021 akan dapat dijayakan.

Hadir sama dalam majlis penutupan ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Koperasi Perak, Yang Berhormat  Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

YADIM merupakan rakan penganjur bersama utama bagi program yang kali kedua dilaksanakan ini. Selain dana, badan dakwah ini menghantar seramai 25 orang kakitangan dan pegawai, yang terlibat dari awal membantu penganjuran.

Zolkharnain juga hadir ke program dan menyampaikan kuliah Maghrib bertajuk ‘Iktibar Dakwah Perjuangan Muhammad Al Fateh’, selain menyampaikan ucaptama dalam salah satu program yang diadakan.

Bermula hari pertama, YADIM telah mengadakan beberapa program seperti Ceramah Tolak Pornografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jati dan Konvensyen Rahmatan Lil Alamin di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini.

Ceramah Tolak Pornografi yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) telah menarik hampir 400 peserta dari kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar bandaraya ini.

Konvensyen Rahmatan Lil Alamin pula dilihat berjaya menanamkan kefahaman mengenai Maqasid Syariah dan Gagasan Rahmatan Lil Alamin kepada para pesertanya, seperti yang dihasratkan kerajaan.

Hari pertama juga menyaksikan MAWAR terlibat dengan Slot Wanita Rahmah menampilkan Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Prof Madya Dr Nik Salida Nik Saleh.

MAWAR terus terlibat pada festival ini pada hari kedua dan ketiga menerusi penganjuran acara Dad’s/Men’s Teh Tarik Session. Program khusus untuk kaum bapa dan lelaki ini didakan secara santai yang mana para peserta berinteraksi secara terus dengan penceramah, membicarakan isu isu lelaki dan keibubapaan.

Tidak ketinggalan ialah Pasukan Sukarelawan Al Rahmah (SAR) YADIM yang mengadakan program ikon mereka, Cuci Cuci. Program khidmat bakti ini diadakan di Surau Ittihadiah dan Surau Islahiah di sini. Seramai 12 anggota SAR YADIM terlibat membersihkan kedua rumah Allah ini.

SAR juga telah menyantuni 31 buah keluarga yang memerlukan di sekitar Masjid Muhammad Al Fateh sepanjang tiga hari festival. Kesemuanya telah diberikan sumbangan barangan keperluan harian bagi meringankan bebanan mereka.

Turut tidak ketinggalan jualan buku buku terbitan YADIM. Penjualan buku diadakan di gerai YADIM sejak hari pertama festival hingga ke malam penutupan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Inisiatif mengadakan program ini turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Muajhid Yusuf yang dalam upacara perasmian berkata, kejayaan penganjurannya oleh Masjid Muhammad Al Fateh dan YADIM seharusnya menjadi contoh kepada semua masjid-masjid yang ada di negara ini agar proaktif mengimarahkan masjid masing-masing dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *