Home » Langit Terbuka » UniSZA perkenal kursus pra-perkahwinan dalam talian

UniSZA perkenal kursus pra-perkahwinan dalam talian

Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan ktika melancarkan MyBahagia. - Foto Unisza

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkenalkan aplikasi web MyBahagia sebagai pelantar menyediakan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) secara dalam talian yang pertama di negara ini.

Pelancaran MyBahagia disempurnakan Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di UniSZA, Kampus Gong Badak, pada 11 Jun.

Penyelidik Fakulti Informatik dan Komputeran UniSZA Profesor Madya Dr Mokhairi Makhtar, berkata, melalui MyBahagia proses pembelajaran secara dalam talian lebih mudah dan efisien melalui telefon pintar.

“MyBahagia dibangunkan sebagai persediaan kepada pasangan yang ingin berkahwin mendapatkan informasi seperti tanggungjawab suami isteri, pengurusan kesihatan keluarga, pengurusan stres dan konflik serta modul lain yang berasakan MBKPI Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Semua kandungan dalam MyBahagia diolah dalam bentuk interaktif dan digital yang menarik dan mudah difahami pengguna.

“Kami yakin inisiatif ini mampu memberikan keyakinan dan mempersiapkan diri pasangan dengan ilmu pengetahuan alam perkahwinan sebelum menghadiri temuduga khas,” katanya.

Menurutnya, kandungan digital ini dibangunkan dengan kerjasama pakar bidang Pengajian Islam, Perubatan, Kewangan Islam, Undang-undang Islam dan Teknologi Maklumat dari UniSZA.

“Modul MBKPPI disepadukan dengan nota, infografik, video ceramah, video animasi, latihan dan pentaksiran.

“MyBahagia direka khusus dengan 11 modul dengan kapasiti kurang 1GB serta boleh dimuatnaik pengguna walaupun mempunyai data internet yang minimum.

“Bagi memastikan data adalah selamat dan dipercayai, maklumat sijil pengguna di simpan dalam rangkaian ‘Blokchain’,” katanya.

Dr Mokhairi berkata, pihaknya dalam proses bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) untuk mengeluarkan sijil kursus pra perkahwinan yang diiktiraf seluruh negeri. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *