USIM tawar pengajian khas keluarga B40

0
86
Inisiatif USIM untuk memastikan pelajar yang layak dan memenuhi syarat mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. - Foto USIM

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka laluan untuk kemasukan khas ke universiti itu melalui Mod B40 iaitu kategori golongan berpendapatan rendah lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda.

Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar USIM, Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin, berkata kategori khas itu membabitkan mereka yang memperoleh pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM4,850.

Katanya, bagi kemasukan melalui Mod B40, USIM menawarkan sebanyak 29 program pengajian daripada tujuh fakulti.

- advertisement -

“29 program pengajian itu termasuk enam program dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), tiga program masing-masing dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).

“Selain itu, lima program dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), tujuh program dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) manakala dua program lagi adalah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah inisiatif USIM untuk memastikan pelajar yang layak dan memenuhi syarat mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Nurkhamimi berkata, peluang kemasukan ini juga memberi peluang kepada pelajar yang tidak mengisi permohonan melalui Unit Pengambilan Universiti (UPU) dalam talian atau tidak berjaya mendapat tawaran di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

“Justeru, mereka boleh memohon untuk masuk ke USIM melalui Mod B40 ini.

“Bagaimanapun, pelajar yang ingin memohon masih perlu untuk mematuhi syarat am dan juga syarat khas kemasukan ke program pengajian yang ditawarkan di USIM.

“Kesemua permohonan adalah secara dalam talian iaitu melalui portal https://eug.usim.edu.my dengan memuat naik segala dokumen yang diperlukan,” katanya.

Keterangan lanjut boleh diperolehi menerusi laman web https://admission.usim.edu.my/kemasukan-mod-b40 dan tarikh tutup permohonan pada 10 September 2022. – Berita Harian