Home » Lagenda » Ustaz Dr Muhammad Uthman El-Muhammady: Pejuang tegar Ahli Sunnah wal Jamaah

Ustaz Dr Muhammad Uthman El-Muhammady: Pejuang tegar Ahli Sunnah wal Jamaah

sumber

Dr Muhammad Uthman yang dilahirkan pada 1 Februari 1943 di Kampung Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan, mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya dinaiktaraf menjadi Maktab Sultan Ismail (Sultan Ismail College) hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, atau lebih dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah.

Pada tahun 1963, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana Muda di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya dan meneruskan pengajian di universiti berkenaan sehingga ke peringkat sarjana sambil bekerja sebagai tutor di situ pada tahun 1969.

Pada tahun 1973, beliau memutuskan untuk berhenti menjadi pensyarah di UM dan kembali ke kampung halamannya di Kelantan untuk memberi fokus pada minatnya iaitu menulis buku agama sambil berdakwah ke jalan Allah SWT.

Dr. Muhammad Uthman terus diberi pengiktirafan melalui anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 1995 kerana usaha dan penulisannya yang syumul dalam pemikiran Islam serta gerakan dakwah di negara ini.

Setelah itu, beliau telah menerima gelaran ijazah kehormat Doktor Falsafah (Ph.D), Universiti Utara Malaysia. Dr. Muhammad Uthman pernah dilantik sebagai Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995 hingga 2008. Walau bagaimanapun, perlantikan tersebut disambung semula sehingga 2010.

Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah Felo Amat Utama Akademik ISTAC DI Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam Perbandingan Agama di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau telah meninggal dunia pada 25 Mac 2013 di saat umat Islam di negara ini masih dahagakan curahan ilmu daripada tokoh yang menolak idea pluralisme dan idealisme ini.

Sesungguhnya, jasa beliau kepada umat Islam amat besar. Jasa ini pasti dikenang sampai bila-bila, lebih-lebih lagi melalui hasil tulisan beliau sama ada dalam bentuk buku, kertas kerja, rencana akhbar, laman web dan lain-lain lagi. Sesungguhnya beliau adalah contoh ulama yang sentiasa berpendirian konsisten dalam kerja-kerja dakwahnya dan sentiasa menyantuni golongan umara’.

Kecintaan beliau terhadap ilmu pengetahun adalah sangat tinggi sehingga akhir hayatnya juga ketika bersama buku-buku. Antara usaha besar beliau termasuk menterjemahkan tafsir al-Quran Maulana Abdullah Yusof ke dalam bahasa Inggeris dalm tujuh jilid. Buku-buku lain termasuk Fathul Mu’in, Terjemahan dan Huraian Maksud, Peradaban dalam Islam (diulang cetak beberapa kali), Memahami Islam, Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi serta Islam dan Kebudayaan.

Antara kebolehan beliau yang sukar ditandingi adalah kemahirannya yang tinggi dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris. Kefasihannya dalam tiga bahasa itu, di samping ilmunya yang tinggi serta kebolehannya menghuraikan sesuatu konsep yang sukar dengan bahasa yang mudah menjadikannya antara tokoh yang sering dijemput membentangkan kertas-kertas kerja di seminar, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Menurut tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, beliau merupakan seorang penulis yang gigih dengan sumber rujukan yang kaya. Beliau sering menjadi pakar rujuk kerana penjelasannya adalah sangat jelas dan meyakinkan.

Sesuatu yang menarik adalah keperibadian Dr. Muhammad Uthman yang sentiasa merendah diri, ramah dan tenang. Ini amat selaras dengan apa yang sering diluahkannya bahawa dakwah bukanlah sesuatu yang beremosi tinggi. Sebaliknya, ia perlu disampaikan dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan keluhuran budi. Sememangnya dengan jati diri sedemikian, lelaki bertubuh kecil dan kelihatan serius ini, bukan sekadar ulama, pensyarah atau guru, malahan di kalangan anak muda yang rapat dengannya menggelarnya ‘ayah’. Bagi mereka, beliau merupakan ayah yang tidak pernah jemu memberi nasihat dan galakan.

Salah satu perkara yang sering diperkatakan oleh Dr Muhammad Uthman adalah peri pentingnya umat Islam di Malaysia dan Nusantara mempertahankan pendekatan ASWJ. Beliau pernah menegaskan, biarpun terdapat begitu banyak aliran wujud, namun fahaman ASWJ merujuk kepada Mazhab Shafieyah perlu didukung oleh umat Islam Nusantara demi perpaduan ummah.

Menurutnya, perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Namun, dalam ajaran Islam telah disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Tegasnya, setiap orang Islam perlulah patuh kepada ijmak ulama atau kesepakatan majoriti ulama. Jika adapun, perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.

Sememangnya, beliau amat bimbang dengan segelintir ‘kaum muda’ yang cuba melawan arus perdana dengan mencabar amalan-amalan yang telah disusun hasil kesepakatan ulama yang berdasarkan dalil dan nas-nas seperti doa qunut, majlis tahlil arwah dan sambutan hari-hari kebesaran Islam.

Selain itu, Tokoh Maal Hijrah 2005 ini, adalah antara tokoh yang lantang menentang golongan yang cuba mengenengahkan fahaman pluralisme dan liberalisme. Beliau amat bimbang dengan berkembangnya fahaman berkenaan yang bukan sahaja sesat tetapi juga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.

Sesungguhnya, Dr Muhammad Uthman telah meninggalkan legasi keilmuan yang tidak ternilai kepada umat Islam di negara ini. Bagi kita yang tinggal, hanya doa dan sedekah al-Fatihah mampu diberikan, moga-moga Allah SWT meletakkan Allahyarham bersama para syuhada dan kekasih-Nya. Doakanlah juga semoga kita tidak akan ketandusan ulama seperti Allahyarham dalam jihad menyebarkan panji dakwah di negara ini.

Dipetik daripada Majalah Dakwah keluaran Mei/Jun 2013

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *