Home » Langit Terbuka » Wang pampasan mangsa kren tumbang bukti keprihatinan Raja Salman

Wang pampasan mangsa kren tumbang bukti keprihatinan Raja Salman

Duta Arab Saudi (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalannya, dalam Majlis Jamuan Tengah Hari Waris dan Mangsa Kemalangan Kren Mekah. - Foto News1.com

KUALA LUMPUR – Pembayaran wang pampasan bagi jemaah haji yang terkorban dan cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada 2015, membuktikan keprihatinan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, terhadap mangsa dan waris insiden berkenaan, kata duta negara itu ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Katanya, walaupun syarikat pembinaan, yang bertanggungjawab dalam menaik taraf Masjidil Haram ketika insiden itu didapati tidak bersalah dan tidak perlu membayar pampasan, Raja Salman prihatin dan memutuskan mengeluarkan peruntukan, sebagai bayaran pampasan kepada mangsa dan waris kejadian itu.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 11 September selepas selesai solat Asar itu, katanya Raja Salman bergegas melawat lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kejadian malang itu, dan mengarahkan supaya penyiasatan segera dilakukan bagi mempercepatkan urusan penyerahan pampasan kepada mereka yang terbabit.

“Raja Salman juga sentiasa memantau rapat perkembangan insiden itu dari awal sehingga selesai pemberian wang pampasan, kepada mangsa dan waris dari setiap negara yang terbabit.

“Arab Saudi sentiasa meletakkan perkhidmatan kepada agama Islam dan umatnya sebagai keutamaan, serta dua kota suci Makkah dan Madinah adalah syiar penting dalam pelaksanaan ibadah haji,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Bernama di Kedutaan Arab Saudi di sini.

Mengulas lanjut, Mahmoud Hussien berkata Raja Salman sering berbangga dengan gelaran penjaga dua kota suci dan beranggapan gelaran itu mempunyai tanggungjawab besar, kepada agama Islam sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa.

Duta Arab Saudi ke Malaysia itu berkata pemberian wang pampasan itu diserahkan melalui kerajaan Malaysia, untuk meringankan beban mangsa dan waris keluarga jemaah yang terbabit.

Waris tujuh mangsa jemaah haji Malaysia yang terkorban masing-masing menerima pampasan bernilai 1 juta Riyal (bersamaan kira-kira RM1.17 juta) manakala tiga lagi jemaah yang cedera dalam insiden itu, masing-masing menerima 500,000 Riyal (bersamaan kira-kira RM587,574). – Bernama

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *