Home » Langit Terbuka » Warga emas terharu dapat al-Quran percuma di program Madani rakyat Zon Tengah

Warga emas terharu dapat al-Quran percuma di program Madani rakyat Zon Tengah

Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR: Orang ramai yang mengunjungi Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor terharu dan gembira kerana dapat menukar al-Quran lama dan rosak dengan baharu secara percuma.

Tinjauan Bernama di reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati pengunjung tidak putus-putus hadir di kaunter KDN bagi menukar al-Quran yang antaranya sudah lama dalam simpanan mereka.

Warga emas Jaafar Abdul Hamid, 76, berkata beliau sangat bersyukur kerana petugas KDN tetap memberikan al-Quran secara percuma kepadanya walaupun beliau tidak membawa al-Quran lama kerana tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Pakcik datang dari jauh, Sungai Besar. Bila pakcik nampak al-Quran ini, pakcik nak beli, tapi mereka cakap yang ini kena tukar yang lama bukan untuk dijual.

“Alhamdulillah mereka bagi percuma. Pakcik memang terharu, sampai nak meleleh airmata pun ada. Hanya Allah yang dapat balas jasa…maknanya Kerajaan MADANI ini terbaik,” katanya dan menambah beliau mempunyai beberapa naskah al-Quran lama di rumahnya.

Malala Said, 11, yang gembira diberikan al-Quran baharu itu berkata beliau bersama adik-beradiknya menukar al-Quran lama sejak semalam.

“Semalam kakak saya tukar dua naskah al-Quran. Hari ini saya tukar satu naskah al-Quran yang saya telah baca selama enam tahun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiusaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Arnajid Jimy berkata sebanyak 500 naskah al-Quran baharu disediakan untuk penukaran secara percuma sepanjang Program MADANI Rakyat itu.

Beliau berkata sehingga pagi tadi, lebih 300 naskah al-Quran ditukarkan merangkumi naskah yang tidak mempunyai perakuan KDN, lama atau rosak.

“Melalui program ini, kita ajak masyarakat secara sukarela menyerahkan al-Quran yang tidak mempunyai perakuan daripada KDN ataupun al-Quran lama dan rosak, untuk kita gantikan al-Quran yang baharu yang mempunyai perakuan daripada KDN.

“Untuk al-Quran yang mempunyai perakuan, terdapat dua ciri utama yang pertama adalah mempunyai cop perakuan daripada KDN di lembaran terakhir naskah al-Quran dan yang mempunyai pelekat hologram di hadapan al-Quran tersebut,” katanya.

Arnajid berkata penting bagi umat Islam di Malaysia memastikan setiap naskhah al-Quran yang dimiliki itu telah disemak dan diperakukan serta disahkan oleh KDN demi memastikan setiap ayat, baris dan huruf di dalamnya tepat untuk dibaca mengikut Rasm Uthmani. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *