Home » Langit Terbuka » Yadim angkat agenda perangi rasuah, seru semua pihak bersama

Yadim angkat agenda perangi rasuah, seru semua pihak bersama

SHAH ALAM – Bagi menjayakan misi Malaysia Tanpa Rasuah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah mengangkat agenda memerangi perbuatan jijik itu sebagai salah satu teras perjuangan yayasan tersebut.

Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, untuk itu pihaknya meningkatkan kerjasama ke arah itu, termasuklah bersenergi dengan Rasuah Busters.

Katanya, misi itu tidak akan menjadi realiti sekiranya semua pihak tidak memainkan peranan sewajarnya.

“Dengan kehadiran teman-teman daripada Rasuah Busters, saya yakin agenda ini dapat dipertingkatkan.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak untuk mengenepikan perbezaan dengan mencari titik persamaan iaitu bersama-sama memerangi rasuah, gunakanlah titik ‘pertemuan’ ini yang mana saya rasa semua orang boleh bersama untuk lawan rasuah, kerjasama semua perlu dalam mendepani usaha ini,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Terdahulu, Rasuah Busters yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama Hasanuddin di Pejabat Yadim, Putrajaya.

Katanya, perjuangan ini juga selaras dengan konsep Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rancangan kita juga untuk cuba memberi tumpuan kepada generasi baharu, tetapi bukan bererti generasi lama itu kita hendak biarkan, tetapi sekurang-kurangnya kita hendak pastikan benih yang tumbuh dalam negara ini merupakan anak-anak yang cakna tentang bahayanya rasuah dan perkara-perkara seumpamanya,” tegasnya.

Jelasnya lagi, bagi memastikan generasi baharu dapat diserapkan dengan elemen-elemen anti rasuah, Yadim akan mengadakan program-program berkaitan di sekolah-sekolah di negara ini.

“Yadim sudah masuk ke sekolah dengan izin Kementerian Pendidikan, jadi saya juga akan minta Rasuah Busters untuk bekerjasama dengan kami dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk kita masuk ke ‘laluan’ yang telah kami lalui ini, mungkin menambah lagi kandungan yang boleh dikongsi di sekolah yang kita akan adakan program di sana,” katanya.

Dalam pada itu Yadim juga akan membuka pintu kepada semua pihak yang mahu menjayakan agenda tersebut.

“Saya hendak semua orang merasakan Yadim sebagai rumah mereka, sebab tugas kami adalah menyusun gerakan-gerakan dakwah yang ada di luar sana, saya tidak mahu merendahkan sesiapa tetapi saya mengajak mereka atas nama Yadim untuk duduk bersama berbincang bagi meletakkan elemen kesepakatan bersama dalam usaha menentang rasuah.

“Saya kira semua aliran sama ada tasawuf, parti politik apa pun mereka boleh menerima untuk kita pastikan perbuatan mungkar rasuah ini diperangi bersama,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *