Home » Citra Yadim » Majlis Pelancaran Buku dan Penyampaian Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-Kanak YADIM

Majlis Pelancaran Buku dan Penyampaian Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-Kanak YADIM

KUALA LUMPUR – YADIM pada 3 Jun melancarkan empat judul buku baharu terbitannya yang dilihat mampu menarik minat pembaca, khususnya kalangan generasi muda di negara ini.

Ia disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar di sini, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung hingga 4 Jun.

Empat judul berkenaan ialah 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW, Kasih Kami, Jangan Buli Saya dan Komik YADIM: Sahabat Misi 3Q (Melangkah Bersama).

Dalam ucapannya, Dato’ Setia Dr Naim berkata, pelancaran buku oleh YADIM ini bertepatan dengan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) (Hal Ehwal Agama) 2023–2027, yang antara fokusnya ialah memantapkan penyelidikan, persuratan dan penerbitan Islam bagi mencapai prestasi tatakelola pentadbiran Islam yang mampan.

Memuji inisiatif YADIM ini, Dato’ Setia Dr Naim berkata Malaysia Madani mempunyai masyarakat bertamadun, cintakan ilmu pengetahuan dan meminati persuratan, selaras dengan apa yang diusahakan oleh YADIM ketika ini.

Beliau menambah, YADIM boleh terus mengadakan kerjasama strategik bersama institusi penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit – penerbit lain sebagai usaha melebar luaskan jaringan strategiknya.

Sementara itu, turut diadakan ialah penyampaian hadiah kepada 10 pemenang Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-Kanak Anjuran YADIM.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima 306 penyertaan bagi pertandingan ini daripada para peserta seluruh negara.

Sayembara itu jelas beliau adalah bertujuan mencungkil bakat yang ada dalam kalangan kanak kanak di Malaysia serta memberi peluang memindahkan pemikiran mereka  dalam dalam bentuk penulisan menurut terjemahan mereka sendiri.

Ujarnya lagi, sambutan sangat luar biasa diterima apabila mereka bukan sahaja menerima penyertaan menerusi emel, malah turut diterima menggunakan tulisan tangan.

YADIM jelasnya lagi, komited menggunakan penulisan sebagai antara kaedah dakwah utamanya.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *