Home » Citra Yadim » Yadim dekati golongan gelandangan

Yadim dekati golongan gelandangan

KUALA LUMPUR 21 November – Dalam usaha mendekati golongan gelandangan dan menyampaikan mesej-mesej dakwah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi Bahagian Bina Ummah telah mengadakan program bersama golongan berkenaan pada 17 November yang lalu.

Pengurus Eksekutif Bahagian Bina Ummah , Hamudah Hassan berkata, program berkenaan telah diadakan di sekitar dataran Masjid Negara, yang merupakan antara lokasi tumpuan golongan gelandangan untuk tidur.

“Pada program ini, Yadim telah berjaya mendekati kira-kira 150 gelandangan dan menyampaikan makanan percuma iaitu spageti dan burger kepada mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, selain daripada sumbangan makanan percuma, Yadim turut menyampaikan beberapa risalah terutama berkaitan solat kepada golongan berkenaan serta mengadakan sembang santai bersama mereka.

Menurutnya, daripada temu bual yang diadakan, didapati kebanyakan daripada mereka mempunyai pekerjaan tetapi tidak berkemampuan untuk menyewa rumah atau bilik sehingga memaksa bergelandangan di kawasan berkenaan.

Katanya, ada juga di antara mereka, yang telah menjadi gelandangan sejak enam bulan lalu apabila mula bekerja di Kuala Lumpur kerana tidak mampu menyewa bilik.

“Lokasi Masjid Negara adalah antara tempat tumpuan gelandangan kerana lokasi berkenaan mempunyai kemudahan tandas dan bilik air dan sekirnya hujan pihak masjid juga membenarkan mereka menumpang di kawasan yang berbumbung,’’ katanya.

Beliau berkata, daripada temu bual itu juga didapati, telah banyak pihak yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi tertentu yang memberikan makanan percuma kepada golongan berkenaan.

Justeru, katanya, pada masa hadapan, Yadim mungkin perlu memikirkan bantuan dalam bentuk yang lain seperti kain pelikat dan telekong bagi menggalakkan golongan berkenaan bersolat dan mengerjakan ibadah.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *