SEMPENA Penutup bulan Muharam, YADIM Negeri Kelantan telah menganjurkan program YADIM Kolaboratif: Rai Ummah Asyura Madani : Dakwah dan Prihatin Komuniti yang berlangsung meriah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Belah, Machang pada 26 Julai.
Program ini menjadi platform menyantuni komuniti pelbagai peringkat umur melalui pendekatan dakwah bil hal yang bersifat mendekati dan menyantuni. Antara aktiviti utama ialah gotong-royong memasak Bubur Asyura yang kemudiannya diagihkan kepada penduduk PPR dengan lebih 100 pek bubur berkenaan diedarkan.
Selain itu, program Ziarah Kasih Madani turut dilaksanakan dengan menziarahi lima buah rumah melibatkan warga emas, pesakit terlantar dan individu yang mengalami kelumpuhan. Aktiviti ini bertujuan menyampaikan sumbangan dan memberikan sokongan moral serta kasih sayang kepada mereka yang memerlukan.
Menambahkan lagi keberkatan program ialah sesi Kuliah Maal Hijrah yang disampaikan oleh Ahli Zamalah YADIM Negeri Kelantan, Ustaz Rosli Hussain.
Turun padang ke program ini ialah Pengerusi Surau An-Nur PPR Machang, Ustaz Azhar Ahmad serta Penolong Pengarah YADIM Negeri Kelantan, Puan Nur Ayuni Mohd Norudin.
YADIM Kelantan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, sekali gus menzahirkan komitmen untuk terus mendekati masyarakat melalui pendekatan dakwah yang inklusif dan penuh kasih sayang.



KOMEN