Home » Langit Terbuka » YADIM Sarawak diberikan pengiktirafan CDERT APM

YADIM Sarawak diberikan pengiktirafan CDERT APM

KUCHING – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak komited melahirkan ahlinya yang berilmu melalui pelbagai aspek tidak terhad kepada berdakwah sahaja, malah membantu dalam misi bencana alam.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pengiktirafan Skuad Pasukan Bertindak Pertahanan Awam (CDERT) APM – YADIM penting dalam usaha yayasan itu meringankan bebanan orang ramai ketika musim bencana.

“Kita percaya melalui latihan yang telah ahli-ahli YADIM Sarawak hadiri, mereka akan dapat mengembangkan kemahiran mereka dalam pelbagai aspek tidak tertumpu dalam memberi dakwah agama sahaja, malah menggerakkan pasukan bantuan.

“Kita faham akan geografi negeri ini yang besar, oleh itu pengiktirafan ini amat penting agar mereka bersedia dan diberikan peluang dalam membantu agensi-agensi keselamatan yang lain sekiranya berlaku sebarang bencana,” katanya pada Majlis Pelancaran CDERT APM-YADIM di sini pada 21 Februari.

Sementara itu, beliau turut menggesa agar ahli-ahli yayasan berkenaaan di negeri ini terus bekerjasama dengan rakan-rakan strategik.

“Sebelum saya ke sini, pagi tadi saya sempat mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau memberitahu kedua-dua pihak terus bekerjasama dengan rakan strategik kita dalam menegakkan ilmu Islam.

“Kerjasama ini penting kerana pada masa yang sama kita dapat mengenengahkan objektif kita sekali gus meningkatkan perfahaman orang ramai terhadap penubuhan yayasan di negeri ini,” tambahnya.

Untuk rekod, seramai sembilan ahli Yadim di negeri ini menerima pengiktirafan YADIM-APM dalam usaha melahirkan ahli yang berkemahiran dalam mengerakkan misi bantuan bencana pada masa akan datang. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *