Home » Langit Terbuka » YADIM tubuh Skuad Duat Siber jawab kes hina Islam

YADIM tubuh Skuad Duat Siber jawab kes hina Islam

YADIM sedang memperincikan lebih lanjut mengenai penubuhan Skuad Duat Siber sebelum memutuskannya dalam masa terdekat. - Foto Zee News.com

PUTRAJAYA- Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) akan menubuhkan Skuad Duat Siber (SDS) bagi menjawab penghinaan dan persendaan Islam di media sosial.

Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, pasukan skuad itu terdiri daripada ilmuan agama dan berkemahiran dalam berdakwah.

“Karakter skuad ini mestilah seorang dai’e iaitu pendakwah yang boleh menyampaikan maklumat secara berstrategi,” katanya.

Menurutnya, YADIM sedang memperincikan lebih lanjut mengenai penubuhan SDS sebelum memutuskannya dalam masa terdekat.

“Selepas ini YADIM akan adakan mesyuarat dan akan tentukan berapa kekuatan anggota skuad dan sebagainya,” katanya menerusi sidang akhbar sempena majlis penghargaan dan ramah mesra bersama media, di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, YADIM menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh turut membentangkan kad laporan prestasi yayasan itu bagi tempoh dua tahun iaitu 16 Julai 2020 hingga 15 Julai 2022.

Sebanyak 15,759 program telah dilaksanakan YADIM melibatkan hampir 6 juta peserta iaitu 547,644 penyertaan secara fizikal dan 5,347,972 peserta dalam talian.

Antara program yang dianjurkan adalah Bulan Dakwah YADIM, Ijtimak Asatizah Malaysia, YADIM Peduli: Musaadah, Sidang Kemuncak Ulama Sedunia, Forum Al-Quds Solidariti dan Wacana Antarabangsa Pendidikan Islam 2021.

Program tersebut mendapat kerjasama 2,179 rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan sebagainya.

Selain itu, ia mendapat penglibatan 11,024 ejen YADIM.

Sementara itu, pada majlis sama, Nasrudin menyifatkan media sebagai lebuh raya maklumat dalam penyampaian mesej kepada masyarakat.

“Media sebagai sebuah keluarga dalam YADIM dan kami amat memerlukan media menyampaikan bukan sahaja berita tetapi bekerjasama dalam penganjuran program dakwah.

“Kami melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengamal media yang menyokong YADIM,” katanya.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *