Home » Langit Terbuka » YADIM cadang jumpa wanita hina Islam

YADIM cadang jumpa wanita hina Islam

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bercadang untuk menemui Siti Amira Natasha Abdullah yang didakwa menghina Islam dalam program dianjurkan sebuah kelab komedi bagi memberi penjelasan mengenai Islam sebenar.

Yang Dipertua, Nasrudin Hassan, berkata wanita itu sepatutnya tahu tindakan yang dilakukan itu adalah satu kesalahan yang amat besar dalam Islam dan berharap dengan pertemuan itu kelak mampu membawa individu itu ke pangkal jalan.

Beliau berkata, apa yang berlaku itu satu episod malang kepada sebuah negara yang bertamadun dan tidak seharusnya umat Islam sendiri menghina agama yang mereka anuti.

“Ini satu perkara yang mengecewakan dan memalukan, oleh kerana itu kami sebagai kapasiti dakwah di Malaysia bercadang untuk menemui wanita berkenaan supaya dapat memberikan penjelasan mengenai Islam yang sebenar.

“Diharapkan individu yang melakukan tindakan itu dapat memperakui kesalahan serta menyatakan kesalahan berkenaan dan berubah. Itu yang akan dilakukan oleh YADIM, dari segi tindakan undang-undang saya yakin pihak berkuasa sudah menjalankan kerja mereka.

“Kami hanya fokus pada dakwah, apabila ada pihak yang melakukan tindakan sebegitu (menghina Islam), kami akan ambil peluang dan cari jalan untuk bertemu dengan mereka dan beri penjelasan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Bersama Media, hari ini.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita yang berusia 28 tahun dan mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penutupan pusat komedi itu, Nasrudin berkata, tindakan itu wajar bagi mengelakkan terjadinya kejadian berulang.

“Kami di YADIM berpendapat selayaknya tindakan sebegitu diambil, kita tidak mahu sebuah premis dijadikan sebagai tempat untuk menghina agama Islam. Sekiranya ia berlaku, memang wajarlah ia disekat (ditutup) kerana membawa kepada keburukan.

“Kita bimbang akan reaksi balas daripada masyarakat awam yang mungkin tidak terkawal disebabkan kemarahan, kerana perkara itu tidak boleh dijangka. Jadi jangan cetuskan situasi atau suasana yang huru hara atau timbulkan polemik, kalau boleh perkara itu dielakkan.

“Di zaman maju dan moden ini, kita seharusnya memilih untuk saling menghormati dan hargai satu sama lain. Kalau tak nak terima Islam, tidak perlulah menghina. Amalkan terima pandangan masing-masing tanpa perlu kita hina orang lain,” katanya.

Mengulas mengenai individu yang cuba memainkan isu yang memburukkan imej Islam sebagai salah satu kandungan di dalam media sosial mereka, Nasrudin berkata perkara begitu tidak seharusnya berlaku.

“Islam ini sangat luas, pelbagai kandungan (content) boleh dipaparkan dalam media sosial untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim dan menyampaikan risalah Islam tanpa perlu memuatkan isu yang kontroversi.

“Contohnya ada yang membuat ‘content’ tarik tudung orang awam, walaupun mungkin alasannya nak tunjuk konon kalau tarik tudung itu nak tengok reaksi masyarakat sama ada marah atau tidak, tetapi dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara.

“Betul mungkin nak capai matlamat yang baik tetapi tidak semua cara boleh kita lakukan, tarik tudung itu sampai nampak aurat wanita berkenaan adalah dilarang dan keduanya sudah jatuhkan maruah seorang Muslimah,” katanya.

Berikutan itu, Nasruddin menasihatkan pencipta kandungan atau ‘content creator’ untuk merujuk pada alim ulama terlebih dahulu bagi mendapatkan nasihat sewajarnya sekiranya isu yang ingin diketengahkan itu membabitkan Islam.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *