Home » Langit Terbuka » YaPEIM peruntuk RM4 juta untuk Program Foodbank 1.0

YaPEIM peruntuk RM4 juta untuk Program Foodbank 1.0

Oengagihan bantuan YaPEIM menerusi Food Bank 1.0 dimulakan melalui Program Ziarah Kasih Rahmah di Kelantan. - Foto YaPEIM

KUANTAN – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyediakan peruntukan berjumlah RM4 juta bagi melaksanakan Program Foodbank 1.0 di seluruh negara, sepanjang tahun ini.

Program itu adalah antara pendekatan yayasan berkenaan membantu meringankan bebanan ditanggung golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah dikenalpasti.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan, berkata pengagihan bantuan itu sudah dimulakan melalui Program Ziarah Kasih Rahmah di Kelantan baru-baru ini.

“Untuk bantuan melalui program ini, kita bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan kita mengagihkan bantuan dalam bentuk makanan yang sudah siap dan barangan keperluan asas.

“Bagi golongan B40, kita santuni mereka dengan menyampaikan bantuan barangan keperluan asas antaranya seperti beras, minyak masak dan biskut, manakala bagi pelajar IPT pula, kita edarkan pek makanan yang sudah siap untuk dimakan.

“Selain itu, kita turut mengadakan program gotong-royong di setiap lokasi persinggahan Program Ziarah Kasih Rahmah bagi mendekati penduduk setempat bagi memudahkan kami mengetahui jenis bantuan yang mereka perlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Foodbank 1.0 sempena Program Ziarah Kasih Rahmah di Masjid Kampung Panching, dekat sini, hari ini (8 September).

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Abdul Halim Mad Yusuf.

Pada program itu, kira-kira 600 ketua keluarga menerima sumbangan YaPEIM dan YWM.

Parihah berkata, pihaknya turut menyediakan peruntukan RM3,000 bagi kerja gotong-royong membersihkan dan memperbaiki kerosakan rumah penduduk di pekan Sungai Lembing pada program hari ini.

Katanya, selain Masjid Kampung Panching, pihaknya turut menyampaikan bantuan kepada kira-kira 100 penduduk di Masjid Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing, di sini.

Ditanya mengenai kriteria pemilihan penerima bantuan, beliau berkata, senarai nama penerima yang layak itu diperoleh dari pejabat ahli Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, selain senarai diberikan oleh pemimpin setempat, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan senarai e-kasih dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, mengulas mengenai program sama yang membabitkan pelajar IPT, Faridah berkata, ia akan dimulakan minggu depan dengan menumpukan kepada pelajar IPT di Lembah Klang terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negara. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *