Home » Citra Yadim » Yee Sang 50 kaki tarikan jamuan muhibah

Yee Sang 50 kaki tarikan jamuan muhibah

Zolkharnain dan Nurul Nadhirah ketika diwawancara dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia

KUALA LUMPUR – Yee Sang sepanjang 50 kaki merupakan tarikan utama majlis Jamuan Muhibah Tahun Baru Cina yang akan diadakan pada 24 Februari ini di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chee Wen, Subang Jaya.

Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Nurul Nadhirah Liew berkata, Yee Sang tersebut adalah tajaan syarikat makanan Muslim terkenal, Restoran Mohd Chan.

“Ia khas untuk majlis ini, kita harap majlis ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan, selaku penganjur utama, MACMA menyasarkan kehadiran kira kira 1,000 orang ke majlis berkenaan,” jelas beliau.

Nurul Nadhirah berkata demikian ketika bersiaran langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1, di sini hari ini.

Turut sama diwawancara ialah Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin. YADIM selaku sekretariat kepada Badan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di Malaysia merupakan penganjur bersama program selain Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yayasan Taqwa dan Hidayah Resource Centre.

Dalam pada itu Nurul Nadhirah berkata, turut diadakan semasa program yang akan bermula pada jam 10 pagi itu  ialah pertunjukan Wushu, Tarian Singa serta penyerahan cenderahati dan pertandingan kuiz mudah.

Zolkharnain sementara itu berkata, YADIM berharap semangat untuk bersatu dan kehidupan bersama dapat diterapkan melalui penganjuran majlis tersebut.

“YADIM komited untuk melaksanakan Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diterapkan kerajaan. Melalui majlis yang bakal dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf ini, kita mahu tanamkan unsur unsur perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, jamuan yang sama tahun lepas diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan pihak penganjur berhasrat untuk menjadikan jamuan ini sebagai acara tahunan untuk merapatkan hubungan masyarakat di negara ini.

YADIM menurutnya, bekerjasama erat dengan pelbagai NGO seperti MACMA dan PERKIM dalam menjalankan pelbagai program antara budaya bagi mempromosikan perpaduan di negara ini.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *