Home » Citra Yadim » Zon Sarawak anjur program bantuan perubatan

Zon Sarawak anjur program bantuan perubatan

KUCHING 26 Okt. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sarawak telah menganjurkan program bantuan perubatan di pedalaman bertempat di Kampung Guyau, Sri Aman pada 22 dan 23 Oktober lalu, sebagai salah satu aktiviti dakwah melibatkan masyarakat di kawasan berkenaan.

Pengurus Eksekutif Yadim Zon Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat berkata, program itu mendapat kerjasama daripada I-Medic, Yayasan Ikhlas dan rombongan Jemaah Tabligh Masjid At-Taqwa Kampung Pinang Jawa, Kuching.

“Ini adalah satu program kolaborasi pelbagai pihak termasuk Yadim bagi membantu dan memberikan khidmat kesihatan kepada penduduk luar bandar di Sarawak yang rata-ratanya sukar menerima rawatan kerana jarak yang jauh,’’ katanya.

Beliau berkata, program yang diadakan itu adalah yang kedua pernah dianjurkan dan ia telah menerima sambutan yang baik daripada para penduduk setempat bagi mendapatkan pelbagai rawatan dan khidmat nasihat kesihatan daripada para doktor yang turut serta dalam program berkenaan.

Ujarnya, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Yadim dan rakan-rakan strategik yang lain bagi mendekati masyarakat luar bandar dan secara tidak langsung menyebarkan risalah-risalah Islam kepada mereka.

“Dakwah bukan sahaja disampaikan dalam bentuk lisan tetapi juga perkhidmatan yang diberikan serta akhlak yang ditunjukkan.

“Melalui program khidmat perubatan ini, diharapkan masyarakat bukan Islam dapat melihat bahawa Islam adalah satu agama yang amat mementingkan kemanusiaan dan bantuan kebajikan kepada masyarakat tanpa mengira anutan mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, secra keseluruhannya seramai 142 penduduk telah menyertai program itu yang termasuk pemeriksaan kesihatan am, pemeriksaan tekanan darah, berat badan, sukatan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI), tahap kandungan gula dalam badan dan pengagihan bantuan ubat-ubatan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *