Home » Langit Terbuka » Imam Palestin disyaki dibunuh ejen perisikan luar negara

Imam Palestin disyaki dibunuh ejen perisikan luar negara

Poster Dr. Fadi kelihatan di kediaman ahli keluarganya di Tebing Gaza. foto Reuters

BAGAN DATUK 21 April – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan seorang pensyarah British Malaysian Institute Universiti Kuala Lumpur (Unikl BMI) warga Pa­lestin yang mati ditembak merupakan seorang pakar kejurute­raan elektrik dalam penghasilan roket.

Ahmad Zahid berkata, hasil maklumat Polis Bukit Aman mendapati kematian Dr. Fadi Mohammed Al Batsh berkemungkinan mempunyai kaitan de­ngan perisikan negara luar yang mengesyaki beliau mempunyai saham dari segi sumbangan melatih pelajar UniKL BMI atau menjadi liabiliti kepada negara yang bermusuhan dengan Palestin.

Menurut Ahmad Zahid, Dr. Fadi yang merupakan seorang pemastautin tetap dan telah me­netap lebih 10 tahun di negara ini, sepatutnya berlepas ke Turki tengah hari ini untuk mengha­diri satu persidangan antarabangsa.

Tambah beliau, Dr. Fadi juga seorang bekas penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaya yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Hamas.

“Saya turut berdukacita atas kematian Dr. Fadi ini, namun polis akan meneruskan siasatan dari semua sudut sehingga tertangkapnya dua lelaki Eropah yang menaiki motosikal BMW GS 1100 CC kerana melakukan perbuatan jenayah di negara ini.

“Kita sentiasa bekerjasama de­ngan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol bagi menjejaki penjenayah berkenaan. Kita juga berharap penjenayah ini akan dapat dikesan segera oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), oleh itu kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas me­rasmikan ba­ngunan GiatMara Ba­gan Datuk di Jalan Besar, Hutan Melintang dekat sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman.

Sementara itu, kematian Dr. Fadi Mohammed Al Batsh turut mendapat liputan portal berita di Asia Barat hari ini.

Pergerakan Hamas mengesahkan Dr. Fadi yang pernah menetap bersama ahli keluarganya di kawasan Jabalya, utara Gaza merupakan ahli kumpulannya.

Gambar-gambar yang dikeluarkan media Palestin menunjukkan seorang lelaki terbaring di lantai dengan luka tembakan di kepala dan dada.

Ahli keluarga mangsa menuduh agensi perisikan Mossad milik Israel sebagai dalang serangan ke atas jurutera itu.

“Kami menuduh Mossad bertanggungjawab ke atas pembunuhan anak kami,” kata kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak keluarga mangsa.

Menurut keluarga mangsa, Dr. Fadi sepatutnya terbang ke Turki untuk mempengerusikan persidangan antarabangsa mengenai tenaga esok.

Seorang pemimpin kanan kumpulan Jihad Islam Palestin, Khaled Al Batsh turut menuduh Mossad bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut dan menyeru pihak berkuasa Malaysia bertindak segera bagi menghalang penjenayah terlibat melarikan diri dari negara itu.

Menurut portal berita Safa, Dr. Fadi bekerja untuk Pihak Berkuasa Tenaga di Gaza sebelum datang ke Malaysia.  – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *