Home » Langit Terbuka » 250 jenis pokok jayakan masjid dalam taman

250 jenis pokok jayakan masjid dalam taman

MASJID Kampung Tedong yang melaksanakan konsep masjid dalam taman dan kebun. Foto : Harian Metro

JASIN: Bagi menjayakan sektor pelancongan Islam di Melaka, Jawatankuasa Masjid Kampung Tedong, Merlimau di sini, melaksanakan konsep masjid dalam taman dan kebun dengan menanam lebih 250 pelbagai jenis pokok.

Konsep dimulakan pada pertengahan tahun lalu itu turut mengenengahkan pelbagai tanaman dikategorikan hampir pupus atau kurang popular antaranya pokok nam nam, belunjai, mentega dan semarak api.

Pengerusi masjid itu, Datuk Akhbar Ali berkata, kebanyakan pokok di situ dibeli dari nurseri seluruh Melaka selain sumbangan orang ramai yang ingin menyertai projek amal berkenaan.

“Pihak jawatankuasa masjid turut mendapatkan khidmat nasihat dan anak pokok daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi penanaman dan penjagaan pokok memandangkan ada antaranya yang hampir pupus.

“Kita jangka hasil yang dapat dituai antaranya seperti pokok lokam, kelat kayu, semarak api dan tekoma dalam tempoh kira-kira lima tahun dari sekarang,” katanya ketika ditemui.

Dengan berkeluasan hampir 0.4 hektar, jawatankuasa masjid terbabit menggunakan sepenuhnya kawasan tanah itu selepas berjaya membina parkir tambahan untuk lebih 50 kereta dengan kos hampir RM200,000, bersebelahan masjid berkenaan.

Bagi menyelaras dan memudahkan majlis korban dan akikah di kampung itu pula, sebuah stesen penyembelihan yang lengkap dan dapat menguruskan lebih 10 ekor binatang korban pada satu-satu masa turut dibina.

Akhbar berkata, satu kalendar musim buah-buahan dan bunga-bungaan akan dibangunkan di laman sosial bagi memudahkan penggemar atau pengunjung merancang untuk mengunjungi masjid itu.

Katanya, secara tidak langsung konsep yang dibangunkan pihaknya dapat mengimarahkan masjid itu, di samping beramal dengan tidak mengenakan sebarang harga, khusus untuk pengunjung menikmati hasil dusun di masjid berkenaan.

“Hasil yang terkumpul akan digunakan untuk membina sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan orang awam di tapak sedia ada bersebelahan bangunan masjid ini.

“Beberapa pemilik tanah sawah yang berada di sekitar kawasan ini juga bersetuju untuk mewakafkan tanah mereka untuk diselenggara dan dimajukan jawatankuasa masjid,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong, Ashri Komeng berkata, pihaknya turut mengenal pasti industri kampung yang dapat dimajukan sebagai konsep pelancongan selaras dengan konsep masjid berkenaan. –HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *