Home » Langit Terbuka » 500 penjaja terima sumbangan Gas Malaysia, PPZ-MAIWP

500 penjaja terima sumbangan Gas Malaysia, PPZ-MAIWP

Sumbangan diberikan oleh Gas Malaysia itu sebagai sebahagian tanggungjawab korporat dan perniagaan yang dibangunkan bersama pembabitan pelbagai pihak termasuk masyarakat. - Foto PPZ Wilayah

PETALING JAYA – Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) bersama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengedarkan bantuan barangan keperluan asas kepada 500 penjaja kecil yang terkesan akibat penularan Covid-19.

 

 

Sejumlah RM50,000 bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, sardin, dan biskut  diberikan  kepada penjaja yang terkesan menerusi wakil Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Berhad, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, sumbangan diberikan sebagai sebahagian tanggungjawab korporat dan perniagaan yang dibangunkan bersama pembabitan pelbagai pihak termasuk masyarakat.

 

“Sehubungan itu, kami berharap dengan sumbangan ini, ia sedikit sebanyak membantu meringankan golongan penjaja ini terutama ketika berlakunya penularan Covid-19.

 

“Ini kerana mereka antara golongan yang paling terkesan sehingga menjejaskan pendapatan dan kehidupan seharian mereka,” katanya dalam majlis sumbangan bantuan kepada penjaja di Pusat Penjaja Dataran Bukit Angkasa Pantai Dalam, di sini pada 24 Ogos.

 

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berharap lebih ramai pembayar zakat di PPZ-MAWP supaya dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

 

Bagi penerima yang juga penjaja, Nor Halmi Abdul Halim, 49, berkata, dia bersyukur dengan penerimaan bantuan barangan keperluan asas yang diberikan.

 

“Setidak-tidaknya bantuan ini dapat meringankan beban saya yang  tidak dapat berniaga hampir dua tahun.

 

“Itu belum lagi masalah lain yang kami perlu hadapi  seperti masalah lokasi dan juga jumlah pelanggan yang semakin merosot. Ia bagai memberi sinar untuk bangkit kembali selepas ini,” jelasnya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *