KUALA LUMPUR – Agenda Program Dakwah Negara 2026 diteruskan menerusi Program Bicara MADANI: Meneladani Rasul Membangun Akhlak Dalam Kalangan Mahasiswa UNIRAZAK, yang berlangsung di Seminar Hall, UNIRAZAK, Kuala Lumpur, pada 16 November.
Program anjuran Bahagian Pelaburan dan Penajaan serta Pejabat YADIM Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Sun Life Malaysia Takaful Berhad dan Pusat Islam UNIRAZAK itu menghimpunkan para pelajar dan pensyarah dalam satu majlis ilmu yang menekankan pembinaan adab dan akhlak sebagai asas membangun negara.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK, Encik Amil Izham Hamzah, diikuti ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Encik Azam Yusof.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom.
Dalam ucapan perasmian, Datuk Dr. Hasan menegaskan bahawa sinergi antara badan dakwah, institusi pendidikan dan badan korporat merupakan satu gabungan yang baik untuk masyarakat.
“YADIM sentiasa komited kepada usaha dakwah untuk masyarakat. Dakwah perlu diterjemahkan dalam akhlak,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa mahasiswa sebagai kelompok intelektual dan masa depan negara perlu berketrampilan serta memiliki nilai integriti. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.
“Ini adalah salah satu pengisian Program Dakwah Negara. YADIM membawa tema Membangun Adab, Membina Negara. Adab adalah cara kita berinteraksi antara satu sama lain. Islam mengajar umatnya berbuat baik dan adil,” ujarnya.
Menurut beliau, mahasiswa bukan sahaja perlu memahami nilai agama, tetapi juga membawa akhlak yang baik kepada masyarakat.
Beliau turut memetik kata-kata Ibnu Khaldun bahawa negara yang baik adalah daripada warganegara yang baik.
Sementara itu, pengisian dakwah daripada YADIM disampaikan oleh Zamalah YADIM, Ustaz Fadhil Yahya.
Dalam ceramahnya di Seminar Hall tersebut, beliau mengajak mahasiswa meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam ketenangan mencari jalan untuk menyelamatkan umatnya. Baginda bertanya dahulu sebelum menghukum, satu pendekatan yang melambangkan hikmah, kesabaran dan kasih sayang dalam dakwah.
Majlis turut menyaksikan Majlis Penyerahan Mock Cheque oleh Sun Life Malaysia Takaful Berhad kepada UNIRAZAK. Sumbangan berjumlah RM10,000 itu disalurkan kepada 100 orang penerima dalam kalangan pelajar UNIRAZAK.
Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Pelaburan, Encik Syarafudeen Sulaiman dan Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan, Puan Siti Zaiton Bachok.



KOMEN