Home » Citra Yadim » Perkasa Adab Depani Era AI: Lebih 350 Hadiri Forum Hal Ehwal Islam di Kepala Batas

Perkasa Adab Depani Era AI: Lebih 350 Hadiri Forum Hal Ehwal Islam di Kepala Batas

KEPALA BATAS, 26 November – Pesatnya perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) masa kini menuntut masyarakat untuk terus memelihara adab serta nilai murni dalam mendepani arus pemodenan.

Menyedari keperluan itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pulau Pinang menganjurkan Forum Hal Ehwal Islam di Masjid Al Jamiul Badawi, di sini, malam tadi, yang berjaya menarik kehadiran lebih 350 peserta.

Program bersempena Program Dakwah Negara 2026 itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Pulau Pinang, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, dan pihak pengurusan masjid berkenaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Masjid Al Jamiul Badawi, Dato’ Haji Shariful Azhar Othman, sebelum diteruskan dengan sesi forum utama.

Forum tersebut menampilkan dua tokoh akademik terkemuka selaku ahli panel, iaitu Pengerusi IKIM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dan Pengerusi Taskforce Pengukuhan Malaysia MADANI Universiti Awam, Profesor Dato’ Dr. Mohd Fauzan Nordin, manakala Pengarah YADIM Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohammad Fadzil Alias bertindak sebagai moderator.

Sesi perbincangan dan soal jawab interaktif itu memberi pendedahan mendalam kepada hadirin mengenai kesan teknologi AI terhadap kehidupan seharian serta cabaran membina jati diri berteraskan adab dalam usaha membina negara.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohammad Hanif Omar @ Wahab; Pengarah ADTEC JTM Kampus Kepala Batas, Haji Hairul Nizzat Bahrin; serta Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Utara, Ustaz Muzafar Ikhmal Saaid.

Hadir sama barisan ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan, pengerusi masjid, pengetua sekolah, dan ahli jawatankuasa kariah setempat.

Majlis yang diakhiri dengan solat Isyak berjemaah dan jamuan ringan itu diharapkan dapat terus menyuburkan budaya ilmu serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengimbangi kemajuan teknologi dengan penghayatan adab.

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *