LAWAS – Sambutan hangat penduduk setempat memeriahkan Program YADIM Sejahtera: Program Mahabbah Kepimpinan MADANI Zon Utara Negeri Sarawak yang berlangsung di Masjid Besar Sundar dan Surau Darul Ihsan, Kampung Bangkiyai, Lawas baru-baru ini.
Dianjurkan YADIM Negeri Sarawak bersempena Bulan Dakwah Negara 2026, program ini menerima penyertaan melebihi 100 orang, mengatasi jangkaan awal.
Antara pengisian utama ialah Forum Ihya Ukhuwah Jejak Ummah bertajuk “Masjid dan Komuniti sebagai Ekosistem Sokongan Saudara Kita”, dengan pegawai YADIM Negeri Sarawak, Ustaz Zamri Bali sebagai moderator.
Forum menampilkan tiga panel iaitu Pengerusi Unit Saudara KIta Lawas, Puan Siti Nursyaza Syafiqah Abdullah, Penolong Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lawas, Ustaz Mohammad Shahtella Montel serta Penolong Pengarah YADIM Sarawak, Daie Muda YADIM Nur Laila Azman.
Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak bertemakan Kepimpinan dan Kenegaraan, cabutan bertuah serta Ceramah Cakna Kewangan dan Emas yang disampaikan oleh pegawai Ar-Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Majlis penyempurnaan program pada sebelah pagi disempurnakan oleh Pembantu Pengurus YAPEIM Cawangan Lawas, Encik Shalihin Laidin, yang mewakili Pengurus YAPEIM Lawas.
Pengisian diteruskan pada sebelah malam di Surau Darul Ihsan menerusi ceramah “Meneladani Kepimpinan Rasulullah SAW dalam Membina Negara Sejahtera” oleh Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Sundar, Ustaz Wan Abdul Muhaimin Wan Abdul Ghani. Aktiviti mewarna untuk kanak-kanak dan jamuan bersama komuniti turut melengkapkan program.
Sambutan yang menggalakkan ini memperlihatkan minat masyarakat terhadap program dakwah yang dekat dengan kehidupan komuniti, selain menjadi ruang untuk berkongsi ilmu, berukhuwah dan meluangkan masa bersama.



KOMEN