KUALA LANGAT – Sebagai tanda cakna terhadap sebuah keluarga yang terkesan akibat musibah kebakaran, Program YADIM Ihsan: Ziarah Kasih Bersama Mangsa Bencana Kebakaran telah dilaksanakan pada 18 November di Taman Sijangkang Damai, Kuala Langat.
Anjuran YADIM Negeri Selangor dengan kerjasama Sukarelawan YADIM (SAY) Kuala Langat, program ini menzahirkan keprihatinan serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa musibah tersebut.
Ziarah ini telah dihadiri oleh Pengarah YADIM Negeri Selangor, Encik Mohd Fitri Aziz Mohd Yusof, Penolong Pengarah YADIM Negeri Selangor, Cik Nurul Syuhada Mohd Kamil bersama Penolong Pegawai, Cik Nur’Ayuni Sofia Mohd Salahuddin.
Turut serta dalam program ini ialah Pengerusi SAY Kuala Langat, Haji Hasmawi Mahidin serta ahli SAY Kuala Langat yang turut memainkan peranan dalam menjayakan program ini.
Dalam program ini, pihak YADIM telah menziarahi puan Ainon Musa, 72 tahun yang mempunyai masalah pendengaran dan juga baru selesai menerima rawatan kemoterapi kerana menghidap penyakit kanser.
Beliau yang tinggal bersendirian ketika berlaku kebakaran, bersyukur kerana terselamat dan hanya rumahnya sahaja yang musnah dalam kejadian pada 10 November akibat disambar petir.
Sebagai tanda keprihatinan, YADIM telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai serta Bakul Makanan MADANI yang mengandungi barangan keperluan dapur harian.



KOMEN