Home » Langit Terbuka » Solat bukan bahan jenaka, parodi – Zulkifli

Solat bukan bahan jenaka, parodi – Zulkifli

KUALA LUMPUR – Ibadah solat tidak boleh dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan atau elemen parodi dalam sebarang bentuk penyiaran kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hassan berkata, tindakan sebuah stesen radio mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, solat merupakan tiang agama serta syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya daripada sebarang bentuk tindakan yang boleh mempersendakan ibadah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media dan pencipta kandungan supaya lebih peka terhadap sensitiviti keagamaan serta mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan bagi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, kebebasan berkarya dan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah sehingga mencetuskan kemarahan dan menggugat ketenteraman awam.

“Dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, semua pengamal media serta pencipta kandungan diingatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti keagamaan dan mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan.

“Kebebasan berkarya dan bersuara tidak sesekali menghalalkan tindakan mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah yang boleh mengundang kemarahan serta menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli mahu pihak terbabit supaya segera memastikan kandungan berkenaan diturunkan dan pihak yang terlibat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Beliau turut menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Marilah kita bersama-sama memelihara adab, saling menghormati kesucian agama, serta menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik dan menyatupadukan masyarakat demi keredaan Allah,” katanya.

Sebelum ini, sebuah stesen radio tempatan telah mengundang kecaman hebat netizen selepas memuat naik satu rakaman video yang menunjukkan dua individu sedang bersolat dengan kapsyen bertajuk Praying for Man United selepas perlawanan menentang Sporting CP.

Video berkenaan mencetuskan perhatian dan reaksi orang ramai kerana menggunakan elemen ibadah solat dalam kandungan berkaitan bola sepak sekali gus menimbulkan persoalan mengenai batas sensitiviti agama dalam penghasilan kandungan hiburan. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *