Home » Langit Terbuka » Agong zahir takziah kepada keluarga Ketua Pengarah Jakim

Agong zahir takziah kepada keluarga Ketua Pengarah Jakim

Seri Paduka Baginda bertitah, khidmat bakti dan jasa Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya kepada masyarakat dan negara, khususnya dalam pentadbiran hal ehwal Islam amatlah dihargai. - Foto FMT

BANGI  – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya yang meninggal dunia tengah hari tadi.

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Paimuzi, dan berharap seluruh keluarga tabah menghadapi dugaan itu.

“Khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara, khususnya dalam pentadbiran hal ehwal Islam amatlah dihargai.

“Seri Paduka baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Paimuzi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari tadi, di Hospital Sungai Buloh akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di Kuang untuk urusan pengebumian.

Dilahirkan di Terengganu pada tahun 1961, Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya (UM).

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.

Beliau pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim.

Paimuzi dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim pada bulan Januari tahun ini. – Ismaweb

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *